Jumaat, 13 Januari 2017 | 5:09pm

Siasatan insiden bunga api meletup selesai


Rakaman video ketika berlaku letupan bunga api ke arah orang ramai ketika menyaksikan acara Fiesta Gegar Klang 2016 sempena sambutan ambang tahun baru 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang. IHSAN PEMBACA

KLANG: Kertas siasatan kejadian letupan bunga api sempena sambutan tahun baharu di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, sudah dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

"Lima lelaki termasuk empat pegawai Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang ditahan reman untuk membantu siasatan dalam kejadian itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berkenaan kes itu kerana sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

Difahamkan, polis sudah merekodkan keterangan daripada sekurang-kurangnya 21 orang sepanjang siasatan membabitkan pegawai kanan MPK yang menganjurkan Fiesta GEGAR Klang 2016, termasuk Yang dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Pengarah Jabatan Korporat dan Komuniti MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin.

Sebelum ini Alzafny dilaporkan berkata, penganjur acara tidak mempunyai permit untuk mengadakan pertunjukan bunga api itu.

Pesta yang diadakan sempena tahun baharu itu bertukar tragedi apabila bunga api yang digunakan untuk persembahan meletup di atas tanah dan terpercik ke arah penonton berdekatan.

Sekurang-kurangnya 14 orang melecur termasuk tiga wanita dan empat kanak-kanak. Kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Berita Harian X