Jumaat, 13 Januari 2017 | 11:57am

Bilic enggan lepas Payet


DIMITRI Payet. -Foto AP

LONDON: West Ham berdiri teguh menentang permohonan Dimitri Payet untuk berpindah dan enggan menjual pemain bintang di Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Perasaan saya sedikit kecewa dan marah," kata pengurus West Ham, Slaven Bilic semalam selepas mendedahkan Payet tidak lagi mahu bermain bersama kelab itu.

Begitupun, Bilic menggesa pemain tengah itu untuk menampilkan "komitmen dan keinginan" yang sama terhadap West Ham yang memberikan kontrak baharu kepadanya sehingga Jun 2021 tahun lalu.

"Kami memberikannya kontrak jangka panjang kerana kami mahu dia kekal," kata Bilic. "Kami sudah berkata yang kami tidak mahu menjual pemain terbaik kami namun Dimitri Payet tidak lagi mahu bermain bersama kami.

"Kami tidak akan menjualnya. Kerana itu kami memberikannya kontrak jangka panjang, dan kemudian kontrak baharu APempat bulan kemudian.

"Saya menghubunginya mengenai perkara itu dan dia enggan bermain bersama kami," katanya.

Payet, 29 menyertai West Ham dari Marseille pada Jun 2015 dan melakukan impak besar terhadap kelab itu musim lalu dengan membantu pasukan menamatkan saingan liga di tangga ketujuh menerusi gol menarik dari sepakan percuma.

Musim ini, prestasinya menurun dengan Hammers menduduki tangga ke-13 liga dan mengharungi permulaan sukar di gelanggang baharu, Stadium Olimpik di London.

Begitupun, prestasi cemerlang Payet pada musim lalu dan kemampuan menariknya untuk memenangi perlawanan membuatkannya kecewa.

"Dia mungkin dihubungi oleh beberapa kelab atau apa saja," kata Bilic. "Saya sudah bercakap dengan kelab, pengerusi dan juga naib pengerusi. Isunya bukan duit. Kami mahu dia kekal. Itu saja."

Sekalipun Bilic mahu Payet kekal, dia tetap tidak akan menyenaraikannya pemain itu dalam perlawanan ketika ini.

"Sehingga dia tidak mengubah sikapnya, dia tidak akan bersama pasukan dan tidak berlatih bersama kami. Namun kami tidak akan menjualnya. Saya menjangkakan sesuatu daripadanya dan mengharapkan dia kembali dan menunjukkan komitmen dan keyakinan kepada pasukan seperti pasukan tunjukkan padanya."

Mengikut kontrak, gaji Payet bersama West Ham lebih 600,000 euro (RM2.84 juta) sebulan. - AP

Berita Harian X