Jumaat, 13 Januari 2017 | 7:35am
LEBIH sepuluh pintu rumah sewa musnah apabila tiga unit rumah di Jalan 7, Kampung Pandan di sini, terbakar, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

Rumah sewa musnah dalam kebakaran awal pagi


LEBIH sepuluh pintu rumah sewa musnah apabila tiga unit rumah di Jalan 7, Kampung Pandan di sini, terbakar, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Lebih sepuluh pintu rumah sewa musnah apabila tiga unit rumah di Jalan 7, Kampung Pandan di sini, terbakar, awal pagi tadi.

Bomba yang menerima laporan kebakaran pada jam 2.15 pagi, mengerahkan lebih tujuh jentera bersama 42 anggota ke tempat kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ruhisha Haris, berkata lokasi kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 930 meter persegi menempatkan tiga buah rumah lot kelas C.

Katanya, setiap rumah lot dipecahkan kepada beberapa pintu rumah sewa dan 90 peratus yang mendiami rumah terbabit terdiri daripada warga asing.

"Jentera pertama sampai ke lokasi kejadian pada jam 2.23 pagi dan seterusnya 42 anggota bomba dari lima balai iaitu Balai Pudu, KLCC, Hang Tuah, Tun Razak dan Keramat serta bomba sukarelawan dari Bukit Bintang dan Desa Petaling terbabit dalam kerja memadam kebakaran.

"Selepas setengah jam, kebakaran dapat dikawal dan kerja memadam sisa kebakaran masih diteruskan pagi ini," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat dan tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian ini.

Berita Harian X