Jumaat, 13 Januari 2017 | 12:01am

Bukan tak laku, cuma kurang popular - Shah Iskandar

Dua kali dijulang sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2013 dan 2014, namun bara momentum itu gagal dikekalkan pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar. Namanya perlahan-lahan suram, malah wajahnya semakin jarang kelihatan terutama pada majlis hiburan.

Situasi itu mencetuskan persoalan, apakah popularitinya semakin merosot? Shah juga dikatakan menyepi kerana tidak lagi menerima tawaran gara-gara masalah disiplin.

Shah atau nama lengkapnya, Shah Iskandar Mahfuz, 35, bagaimanapun, menepis dakwaan itu. Mengakui masih menerima tawaran, Shah yang ditemui ketika mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Syurgaku Tak Sempurna akur, popularitinya tidak lagi sehebat dulu.

"Mungkin kerana laman sosial saya jarang dikemas kini menimbulkan andaian saya tidak lagi berlakon. Saya masih lagi menerima tawaran berlakon, jika tidak, mana mungkin saya di sini? Cuma pada tahun pertama perkahwinan, saya ambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti lakonan kerana mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga.


PELAKON Drama Syurgaku Tak Sempurna, Shah Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Sebagai ketua keluarga, tanggungjawab saya kini lebih besar. Saya masih laku, cuma kurang popular. Mungkin pandangan itu timbul kerana kebanyakan drama lakonan saya tidak disiarkan pada waktu puncak. Selepas dua kali diangkat sebagai Pelakon TV Popular, saya tidak lagi mengejar populariti.

"Saya sudah capai segala-galanya, jadi saya hanya menikmati hidup dengan gembira. Kebahagiaan itu akan lengkap apabila saya menimang cahaya mata," katanya.

Shah berkata, sejak mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Siti Sarah Mohd Noor setahun lalu, masanya banyak dihabiskan bersama isteri. Tidak seperti zaman bujang, Shah meninggalkan tabiat suka melepak dan melupakan seketika hobi menunggang motosikal untuk memberikan perhatian kepada keluarga.


DRAMA terbaharu lakonan Shah Iskandar, Syurgaku Tak Sempurna.

Pernah lupa diri

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Runtun Qalbu dan Gerak Khas itu tidak menafikan, dirinya pernah dibelenggu masalah disiplin ketika berada di puncak. Sering Shah akan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kesilapannya.

Semua itu, bagaimanapun, berubah apabila usianya menganjak matang. Shah juga tidak mahu lagi dikaitkan dengan masalah disiplin hingga mengganggu kelancaran produksi.

"Saya kini lebih matang dan mula mengubah sikap dengan memastikan diri tiba di lokasi penggambaran tepat pada masanya atau lebih awal. Saya juga tidak melatah sekiranya ada pelakon yang tiba lewat kerana saya pernah melalui situasi itu. Mungkin ketika di atas, kita diuji hingga lupa diri.

"Apabila memikirkan semula niat sebenar saya berhijrah ke Kuala Lumpur dulu untuk mencari rezeki, saya belajar betulkan diri. Saya minta maaf kepada produksi yang pernah tersinggung dengan sikap saya dulu," katanya.


PELAKON Drama Syurgaku Tak Sempurna, Shah Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Menanti zuriat

Shah berkata, selepas setahun berkahwin, dirinya dan isteri masih menanti dikurniakan Tuhan cahaya mata. Pada awal mendirikan rumah tangga, Shah pernah terfikir untuk merancang kelahiran anak kerana sedang berusaha menyesuaikan diri dengan peralihan status.

"Mungkin kata-kata saya itu menjadi doa hingga saya masih belum diberi rezeki untuk menimang anak. Saya hanya mampu berusaha dan berdoa moga diberikan Tuhan zuriat sebagai penyeri hidup kami berdua," katanya.

Beralih mengenai perkembangan kerjaya seninya, Shah bakal muncul dengan drama terbaharu terbitan Dark Wave Pictures Sdn Bhd, Syurgaku Tak Sempurna. Menerusi drama yang disiarkan menerusi HyppTV bermula 16 Januari ini, Shah bergandingan dengan dua pelakon wanita iaitu Raja Ilya dan Uqasha Senrose.

Selesai penggambaran drama itu, Shah akan kembali ke Singapura untuk menjayakan produksi Inggeris di sana.

35 dibaca
PELAKON Drama Syurgaku Tak Sempurna, Shah Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DRAMA Syurgaku Tak Sempurna, Datuk Rafiena (kanan) bersama pelakon, Shah Iskandar (tengah) dan Raja Ilya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X