Khamis, 12 Januari 2017 | 10:44pm

DRB-HICOM Autofest 2017 tawar diskaun hebat


PENGARAH Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.- Foto FMT News

SHAH ALAM: DRB-HICOM Bhd bakal mempamerkan 10 jenama kenderaan di bawah portfolio Automotif Kumpulannya, sempena penganjuran DRB-HICOM Autofest 2017 yang akan diadakan di Kompleks EON di Glenmarie, Shah Alam, pada Sabtu dan Ahad ini.

Sebanyak 10 jenama berkenaan terdiri daripada PROTON, Lotus, Audi, Volkswagen, Honda, Jeep, Mitsubishi, Isuzu, Tata dan MODENAS.

Karnival bercirikan kekeluargaan itu memasuki edisi keenam penganjurannya dan ia dibuka untuk pengunjung bermula pada jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata penganjuran kali ini menawarkan pelbagai tawaran menarik serta pakej yang hebat.

Katanya, penganjuran karnival ini adalah masa yang tepat untuk mendapatkan pelbagai tawaran hebat bagi memiliki sebuah kereta baharu dan meraikan musim perayaan dengan selesa dan bergaya.

"Pengunjung bakal ditawarkan dengan harga lebih baik dan secara eksklusif sepanjang penganjuran dua hari itu.

"Orang ramai juga berpeluang melihat secara dekat kereta, trak dan pelbagai jenis model motosikal terkini, serta merebut peluang daripada tawaran yang sangat menarik melalui diskaun istimewa serta pakej eksklusif yang menakjubkan daripada syarikat automotif berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara syarikat menyediakan tawaran ialah Audi yang menawarkan kadar faedah rendah sebanyak 0.88 peratus selain diskaun harga menarik, manakala Jeep menawarkan diskaun antara RM70,000 hingga RM150,000 untuk pelbagai model kenderaan mereka.

PROTON pula menyediakan diskaun sehingga RM13,000, sementara Honda menawarkan pengurangan sehingga RM12,000 daripada harga semasa.

Rangkaian kenderaan Volkswagen pula akan menawarkan diskaun sehingga RM4,000 dan pengunjung akan dapat menikmati diskaun sehingga RM8,000 untuk pelbagai model pikap Isuzu.

Kenderaan komersial Tata akan menawarkan pakej diskaun khas sehingga RM18,000 bagi rangkaian model kenderaan mereka.

Selain itu, untuk setiap pembelian produk MODENAS, pembeli akan menerima sebuah topi keledar dan baju hujan percuma.

MODENAS turut menawarkan yuran tempahan khas hanya sebanyak RM50 kepada pengunjung yang ingin membeli pelbagai motosikal semasa pesta ini.

Info

- DRB-HICOM Autofest 2017 turut mengadakan acara lelongan khas bagi kereta Proton dan Audi pada 14 Januari 2017 (Sabtu) pada jam 2.30 petang.

- Sebanyak 45 kereta Audi dan 132 kereta Proton pelbagai model akan dilelong.

Berita Harian X