Khamis, 12 Januari 2017 | 10:10pm

Nike terus taja jersi pasukan JDT

JOHOR BAHRU: Nike Malaysia mengesahkan penajaan jersi untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) selama tiga tahun dengan pengenalan jersi baharu yang akan digunakan skuad itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini di Dataran Bandaraya, sebentar tadi.

Penajaan itu membabitkan skuad utama JDT, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim III yang beraksi pada saingan Piala Presiden dan skuad Piala Belia, Johor Darul Ta'zim IV (JDT IV).

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, berkata kesudian Nike menaja JDT pada musim ini membuktikan betapa pakaian sukan ternama itu mengiktiraf pencapaian yang dilakukan skuad Harimau Selatan pada kancah Liga M dan saingan Piala AFC.

"Kami amat berbangga apabila Nike sudi menjadi penaja kepada JDT malah jersi baharu yang akan digunakan oleh setiap pemain amat sesuai digunakan ketika perlawanan menerusi teknologi inovatif jersi yang canggih," kata Tunku Tun Aminah.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Nike Malaysia, Nino Priambodo, berkata status JDT yang kini dikenali di Asia Tenggara memberi lebih keyakinan untuk menaja pasukan itu selama tiga musim.

"Pasukan JDT yang memiliki rekod terbaik pada saingan Liga M dan Piala AFC memberi lebih keyakinan kepada kami menaja semua pasukan itu dari skuad utama hingga pasukan belia. Malah pasukan itu juga tampak begitu cemerlang sepanjang musim lalu sehingga berjaya mencipta sejarah apabila memenangi hatrik Liga Super," kata Priambodo.

Pelancaran jersi baharu itu disempurnakan Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan turut disaksikan Naib Presiden I PBNJ, Zulkurnain Kamisan dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Sebelum pelancaran itu, video berdurasi tujuh minit memaparkan aksi pemain JDT menarik minat lebih 5000 penyokong yang hadir.

MODEL dari kiri, Suryati Abd Rahman, Habsyah Jaiman, Farah Hazwani Johari, Fatin Hamimah Noh menunjukkan jersi baharu JDT musim 2017selepas Majlis Pelancaran Jersi baharu, di Dataran Bandaraya Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANTARA penyokong terawal yang membeli jersi baharu JDT musim 2017 selepas Majlis Pelancaran Jersi baharu, di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Berita Harian X