Isnin, 15 Disember 2014 | 3:23pm

MBAM rayu kerajaan keluarkan pekerja asing sektor binaan daripada Program 6P

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) merayu kerajaan memberi pas lawatan sementara kepada pekerja asing sektor binaan yang terbabit dalam Program 6P demi manfaat industri.

Presiden MBAM, Matthew Tee berkata, ini kerana semua pekerja terbabit yang kini merupakan pekerja mahir binaan perlu kembali ke negara masing-masing awal tahun depan, sekali gus menyebabkan industri kehilangan tenaga kerja.

"Kami harap status mereka diubah dan mereka boleh memperbaharui permit kerja setiap 12 bulan untuk selama 10 tahun. Kalau tidak kami terpaksa hantar mereka balik atau mereka akan menjadi pendatang tanpa izin di sini.

"Ini tidak masuk akal kerana kita mengalami kekurangan tenaga kerja dalam industri. Untuk mendapatkan pekerja baharu akan mengambil masa antara enam dan sembilan bulan dan kami juga perlu melatih mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut disertai Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor India Malaysia dan Guild of Bumiputera Wibawa Bhd.

Tee menganggarkan lebih 100,000 pekerja asing sektor binaan atau 20 peratus daripada mereka yang berdaftar di bawah Program 6P akan terjejas apabila kerajaan menguatkuasakan program itu bermula 5 Januari 2015.

Katanya, tindakan itu akan menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi, bukan sahaja kepada kontraktor tetapi juga pembeli, pelabur dan kerajaan apabila projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Program 6P diperkenalkan oleh kerajaan sebagai usaha mengurangkan pekerja asing tanpa izin di negara ini menerusi enam fasa iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran. - BERNAMA

Berita Harian X