Khamis, 12 Januari 2017 | 3:05pm

2 restoran SuperStar Libra terima sijil halal


KAPAL persiaran mewah SuperStar Libra. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

GEORGETOWN: Dua restoran kapal persiaran mewah SuperStar Libra menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun ketiga berturut-turut.

Jurucakap Star Cruise berkata, pihaknya adalah syarikat pelayaran antarabangsa pertama yang dianugerahkan sijil halal JAKIM sejak 2013.

Katanya, adalah menjadi keutamaan pihaknya memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan antarabangsa beragama Islam yang mengikuti setiap pelayaran mereka.

"Pelancong Islam yang mengikuti pelayaran ke Phuket dan Krabi di atas kapal SuperStar Libra kini boleh menikmati percutian dengan pilihan makanan halal.

"Lebih 30 menu hidangan halal disediakan chef bagi keselesaan pelanggan yang mengikuti pelayaran atas kapal kami," katanya di sini, hari ini.

Majlis penyampaian sijil halal dilakukan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Norhasni Othman kepada Penolong Ketua Chef Kanan SuperStar Libra, Rashidi Mohamad.

Restoran SPICES dan Blue Lagoon menerima sijil halal selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan JAKIM dari segi kelengkapan dapur, pekerja, perolehan bahan makanan, cara penyediaan makanan dan perkhidmatan.

Berita Harian X