Khamis, 12 Januari 2017 | 2:37pm

20,570 usahawan Terengganu dapat bantuan


PENGARAH SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu, Muhammad Ibrahim (kanan) merasmikan program Sembang Usahawan Berjaya dan Bicara Bajet 2017 di Pembangunan Yayasan Usahawan (YPU). - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM292 juta pinjaman dan RM9.5 juta dalam bentuk geran dibelanjakan sepanjang tahun lalu bagi membantu lebih 20,570 usahawan, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

Pengarah SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu, Muhammad Ibrahim, berkata pinjaman berkenaan membabitkan beberapa agensi termasuk SME Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), MIDF, SME BANK, Amanah Ikhtiar Malaysia serta Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

"Bantuan pinjaman yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi berkenaan sememangnya memberi manfaat yang cukup besar kepada usahawan Bumiputera di negeri ini.

"Jadi pada tahun ini, saya berharap usahawan di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk merebut segala kemudahan yang disediakan kerana dengan cara ini mereka boleh memajukan perusahaan yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lalu melalui SME Corp dengan kerjasama MARA, membantu PKS yang masih baharu dan sedia ada menembusi pasaran eksport seperti Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di peringkat ASEAN.

"Peruntukan yang disediakan kerajaan sebanyak RM40 juta itu disasar memberi manfaat kepada 400 syarikat PKS Bumiputera untuk mengeksport produk atau perkhidmatan mereka ke luar negara," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X