Khamis, 12 Januari 2017 | 1:03pm

Pengamal undang-undang diingatkan jauhi rasuah

PEGUAM Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (kanan) menerima cenderamata daripada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek (tengah) sambil diiringi Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, Datuk Siti Zainab Omar (kiri) pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara (AGC) Tahun 2017 di Swiss Garden Hotel & Residence, Jalan Bunga Raya, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Pengamal undang-undang di negara ini diingatkan tidak terbabit dalam gejala rasuah atau bakal berdepan tindakan tegas, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beliau menegaskan, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran undang-undang hanya akan mencemarkan imej Jabatan Peguam Negara serta integriti institusi itu sendiri.

"Saya ingin tegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pegawai yang didapati bersalah membabitkan isu integriti dalam apa bentuk sekali pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara 2017 di Hotel Swiss Garden & Residences di sini, hari ini.

Majlis berlangsung selama tiga hari itu disertai seramai 631 peserta daripada pegawai undang-undang dari seluruh negara. Yang turut hadir, Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek; Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan dan Ketua Bahagian Penasihat merangkap Pengerusi Persidangan, Datuk Siti Zainab Omar.

Mohamed Apandi berkata, gejala rasuah umpama anai-anai yang merebak sehingga akhirnya menjadi wabak jika tiada langkah untuk membendungnya.

"Seperti mana anai-anai, kehadirannya tanpa kita sedari. Mulanya hanya berkawan, pergi ke hotel, bermain golf dan melancong bersama dengan semua perbelanjaan ditanggung. Akhirnya merebak menjadi permintaan dan pemberian wang ringgit secara terbuka tanpa rasa segan silu.

"Rasuah lebih dahsyat kesannya daripada mana-mana wabak di dunia ini," katanya.

Berita Harian X