Khamis, 12 Januari 2017 | 12:06am

Melaka United bimbang prestasi Nazari - Yusoff

MELAKA: Tahap permainan yang kurang meyakinkan pemain import baharu Melaka United (MU), Omid Nazari dari Sweden jelas mencemaskan pengurusan pasukan Liga Super terbabit.

Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Melaka United (MUSA) yang juga pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, gaya permainan Nazari belum menepati corak yang diterapkan.

Sehubungan itu katanya, pemain itu diminta untuk terus memberi sentuhan lebih meyakinkan tambahan dia adalah awang import harapan pasukan bagi mengemudi barisan tengah skuad Hang Tuah menggantikan Labinot Harbuzi ( Sweden) yang tidak disambung kontrak.

Menurutnya, Nazari hanya diturunkan dalam dua perlawanan awal walaupun tidak sepenuh masa dalam usaha jurulatih Eric Williams membentuk keserasian kalangan pemain dan menguji prestasi semasa pasukan terbabit.

"Sementara pada perlawanan ketiga, pemain itu tidak diturunkan ketika mengikat juara Liga Kemboja Boeung Ket Angkor (BKA FC) 2-2 di Stadium Olimpik Phnom Penh.

"Sebaliknya Williams meletakkan Amri Yahyah, Muhammad Khairu Azrin Khazali dan Ahmed Ezrie Shafizie Sazali di posisi tengah dengan barisan serangan diketuai Ilja Spasojevic dan Sergio Aguero bergandingan bersama Syed Sobri Syed Mohd. Apapun tanpa kelibat Nazari pada perlawanan berkenaan menjadi persoalan," katanya.

Sehubungan itu, dia mengharapkan Nazari dapat segera membuktikan kemampuan membantu pasukan beraksi pada tahap terbaik selepas ini, berikutan MU perlu menurunkan kesemua pemain import bagi memperkasa pasukan.

Justeru, dia mengharapkan aksi berdepan pasukan FELDA United pada perlawanan persahabatan pra musim Sabtu ini di Stadium Hang Tuah mampu menjadi kenyataan.

Perlawanan berkenaan penting buat skuad tuan rumah dalam memantapkan skuad terbabit menjelang aksi pembukaan Liga Super 21 Januari berdepan Kelantan di Kota Bahru.

Berita Harian X