Rabu, 11 Januari 2017 | 6:17pm

Adenan laksana pelbagai inisiatif demi Sarawak


MOHAMED Khaled Nordin.- Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Sarawak kehilangan Tan Sri Adenan Satem pada ketika Ketua Menteri itu rancak memajukan negeri dengan pelbagai inisiatif pembangunan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kesungguhan Adenan membangunkan Sarawak akan dikenang bukan saja oleh rakyat negeri itu tetapi juga rakyat Malaysia.

"Bagi seluruh rakyat negeri Johor, saya merakamkan ucapan takziah kepada Puan Sri Jamilah Anu dan keluarga serta seluruh rakyat Sarawak atas kepulangan Ketua Menteri Sarawak ke Rahmatullah.

"Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat Bumi Kenyalang dan Malaysia amnya, lebih-lebih lagi beliau sedang rancak melaksanakan pelbagai inisiatif memajukan Sarawak.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diberkati Allah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari tadi.

Allahyarham dimasukkan ke Pusat Jantung HUS pada Sabtu lalu selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.

Berita Harian X