Rabu, 11 Januari 2017 | 1:13pm

Penguatkuasa pengangkutan awam perlu lebih tegas


KEMALANGAN bas ekspres yang meragut 14 nyawa dan mengakibatkan 16 cedera selepas bas yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, pada Disember lalu. - Foto Rasul Azli Samad

KEMALANGAN membabitkan kenderaan awam dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini khususnya bagi perjalanan jarak jauh seperti bas ekspres dan bas persiaran.

Disember lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan bas ekspres yang meragut 14 nyawa dan mengakibatkan 16 cedera selepas bas yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Pagoh.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menjalankan siasatan terhadap nahas berkenaan.

Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali ada kemalangan sedemikian, pelbagai cadangan dan langkah penguatkuasaan yang perlu juga diutarakan oleh pihak berkaitan bagi mengelakkan tragedi berulang.

Malah, sudah banyak cadangan atau langkah diambil bagi mengelakkan kemalangan bas atau pengangkutan awam yang mengancam nyawa ramai penumpang.

Antaranya pengenalan kotak hitam, alat kawalan kelajuan, perakam had laju, lampu berkelip-kelip atas bas bila dipandu laju dan pelbagai lagi.

Namun, semuanya bagai 'hangat-hangat tahi ayam' dengan satu persatu lenyap dan dilupakan apabila sesuatu insiden itu semakin lama berlalu.

Di sebalik semua cadangan dan langkah diambil itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ juga membuktikan, banyak kemalangan maut membabitkan kenderaan awam yang berlaku berpunca daripada pemandu yang mempunyai banyak rekod saman dan kesalahan lalu lintas, tetapi masih bebas diberi peluang bekerja oleh syarikat pengangkutan awam seperti bas ekspres.

Sesetengah pemandu itu pula memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah atau tanpa rehat secukupnya.

Memandangkan kesedaran sivik tidak ada dalam kalangan sesetengah pemandu bas awam, disyorkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), JPJ dan PDRM supaya mempertingkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi menangkap pemandu bas atau pengangkutan awam yang memandu dalam keadaan yang boleh membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Pihak berkuasa terbabit juga haruslah menggembleng tenaga membuat pemantauan bersepadu di dalam menangani kecuaian-kecuaian pemandu kenderaan awam.

Cegahlah sebelum terlambat, sebelum lebih ramai orang awam menjadi mangsa kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu kenderaan awam. Kesedaran wajib diutamakan!

66 dibaca
Berita Harian X