Selasa, 10 Januari 2017 | 6:15pm

Harus isteri tinggalkan suami ganas - Mufti


HUKUM isteri meninggalkan rumah suami disebabkan ancaman dan penderaan atau keganasan domestik di Perlis adalah harus.

KANGAR: Hukum isteri meninggalkan rumah suami disebabkan ancaman dan penderaan atau keganasan domestik di negeri ini adalah harus.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-24 dan 25/2016 pada Disember lalu dan diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), kelmarin.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata dalam kalangan masyarakat terdapat isteri yang begitu taat sehingga apabila dia dipukul, anaknya diseksa suami tetapi tidak melarikan diri kerana takut dianggap nusyuz.

"Pada asalnya Islam tidak membenarkan isteri keluar dari rumah melainkan mendapat kebenaran suami.

"Namun jika isteri pada tanggapan yang kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau pun hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami," katanya di sini, hari ini.

Asri berkata, situasi dalam masyarakat ketika ini, isteri yang diancam suami menerima pandangan beberapa pihak yang mengatakan apa sahaja yang berlaku wanita sebagai isteri perlu taat.

"Isteri diharuskan keluar tanpa izin selepas mendapati tiada penyelesaian serta suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan atau nafkah yang mencukupi.

"Ia tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya," katanya.

Berita Harian X