Selasa, 10 Januari 2017 | 3:50pm

Dua guna kad pengenalan palsu ditahan

 

KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan warga Filipina di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Duta di sini, ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) awal pagi tadi kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli, dalam satu kenyataan semalam, berkata dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun itu ditahan selepas kad pengenalan yang ditunjukkan mereka tidak mempunyai ciri seperti yang dikeluarkan JPN.

"Ketika pemeriksaan, kedua-dua suspek mengaku dari Sabah. Sebaik anggota penguat kuasa meminta dokumen pengenalan diri, mereka memberikan kad pengenalan yang didapati palsu," katanya.

Mohd Yazid berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku berasal dari Basilan, Filipina dan baru memasuki Malaysia sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini melalui Sandakan dan kemudian ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan yang diuruskan oleh ejen menggunakan kad pengenalan palsu.

"Mereka mengaku membayar sebanyak RM400 untuk satu kad pengenalan tidak termasuk harga tiket penerbangan. Mereka kemudian dibawa balik ke ibu pejabat JPN di sini untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.

Mohd Yazid berkata, semua pengawal keselamatan terbabit ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika bersabit kesalahan.

Beliau menegaskan, JPN akan meneruskan pemeriksaan ke atas pengawal keselamatan bagi memastikan mereka yang bekerja di negara ini memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

 

Berita Harian X