Selasa, 10 Januari 2017 | 2:16pm

Muhammad Ramadhan, ibu buat persiapan ke tanah suci


Muhammad Ramadhan Alias, 20 mencium ibunya Saibah Yaacob, 58 di rumahnya di Kampung Beril Paka. - Foto Aslina Abu Bakar

DUNGUN: Pesakit leukemia, Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang mendapat tajaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kini membuat persiapan untuk ke tanah suci.

Muhammad Ramadhan bersama ibunya, Saibah Yaacub, 57, hadir di pejabat Imigresen Kuala Terengganu untuk membuat pasport antarabangsa mereka, semalam.

Katanya, walaupun dia dan ibunya belum diberi tarikh penerbangan ke Makkah, mereka perlu membuat persiapan awal bagi mengelak berlaku kekalutan di saat akhir.

"Alhamdulillah, saya dapat gunakan duit simpanan untuk membayar kos pasport saya dan ibu.

"Selepas ini, saya akan ke Bandar Dungun untuk membeli pakaian dan persediaan lain yang dibiayai Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam," katanya.


Muhammad Ramadhan Alias, 20 mendapat peperiksaan doktor di rumahnya di Kampung Beril Paka. - Foto Aslina Abu Bakar

Muhammad Ramadhan berkata, dia perlu menyerahkan dokumen perjalanannya ke Pejabat Menteri Besar dengan segera bagi memudahkan kakitangan pejabat itu menguruskan perjalanannya.

"Selepas itu, saya juga perlu bersiap untuk mendapatkan bekalan ubat sepanjang berada di sana. Kami amat terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM), terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membantu saya dan ibu ke tanah suci," katanya.

Muhammad Ramadhan yang menghidap leukemia tahap empat mempunyai harapan hidup untuk tempoh empat bulan lagi.

Penderitaannya yang disiarkan akhbar BH mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk membiayai pakej perjalanan dua beranak itu manakala Perdana Menteri melalui BKUM bersetuju membiayai perbelanjaan mereka di sana.

Berita Harian X