Isnin, 9 Januari 2017 | 8:37pm

Penyelenggaraan Terowong Genting Sempah ditangguh mulai 20 Jan

KUALA LUMPUR: Kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan ditangguhkan mulai 20 Januari hingga 13 Februari ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

Penangguhan itu selaras arahan kerja oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak membenarkan kerja penyelenggaraan pada musim perayaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penangguhan seketika kerja dalam terowong itu bertujuan memberi ruang kepada pengguna pulang ke kampung, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

"KKR dan ANIH Berhad selaku pemegang konsesi lebuh raya itu berpendapat kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah ini perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan, namun tetap mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya.

"Dengan adanya jadual kerja ini, pengguna diharap lebih peka dan dapat merancang perjalanan khususnya pada musim cuti perayaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yakin dengan langkah diambil ANIH Berhad berhubung pengurusan trafik, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan ketika pelaksanaan kerja berkenaan.

"Saya melihat ANIH Berhad mengambil kira pelbagai langkah yang perlu dalam pelaksanaan kerja terbabit, khususnya keselamatan dan jangkaan kesesakan pada cuti musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, mulai esok, laluan kontra akan diaktifkan bermula Isnin hingga Khamis iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Laluan dalam terowong akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi. Jadual ini akan berterusan selama dua bulan.

"Bagaimanapun, kita menangguhkan kerja itu dari 20 Januari hingga 13 Februari bagi memberi laluan sempena cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam," katanya.

Berita Harian X