Isnin, 9 Januari 2017 | 8:34pm

2,610 kilometer pantai seluruh negara dalam keadaan kritikal


MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) ketika meninjau hakisan Pantai Tanjung Gelam di Kampung Kolam, Kuala Nerus. - Foto Baharom Bakar

KUALA NERUS: Kira-kira 2,610 kilometer atau 30 peratus daripada 8,700 kilometer pantai di seluruh negara dikategorikan sebagai kritikal berikutan ancaman hakisan terutamanya pada musim tengkujuh.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan memerlukan kos yang tinggi untuk menangani masalah hakisan keseluruhan pantai berkenaan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan memberi keutamaan untuk melaksanakan projek pembinaan benteng pemecah ombak di perkampungan didiami penduduk dan di kawasan perladangan.

"Bagi tujuan itu, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta untuk pembinaan benteng pemecah ombak di pantai Tanjung Gelam sejauh kira-kira 1.5 kilometer bermula daripada Kampung Kolam, Mengabang Telipot dan Kampung Tengah.

"Peruntukan itu tidak termasuk penyediaan laluan bot nelayan dan jeti untuk memudahkan nelayan memunggah hasil tangkapan," katanya ketika meninjau projek pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Tanjung Gelam, di sini, petang ini.

Turut serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir Poobalan Chidambaran.

Wan Junaidi berkata, JPS negeri sudah diarahkan menyediakan pelan termasuk kos bagi pembinaan laluan bot serta jeti kecil untuk memohon peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Kita anggarkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menyediakan laluan bot dan jeti kecil serta kemudahan lain termasuk jalan raya tepi pantai adalah d iantara RM7 dan RM10 juta," katanya.

Berita Harian X