Isnin, 9 Januari 2017 | 7:57pm

FELDA belum buat bayaran beli saham EHP Indonesia

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) belum membuat bayaran AS$505.4 juta (RM2.26 bilion) bagi pembelian 37 peratus saham dalam PT Eagle High Plantation (EHP), seperti mana didakwa pihak pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, menjelaskan bahawa FELDA menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP), masih menunggu proses kelulusan beberapa dokumen oleh kerajaan Indonesia melalui PT Rajawali Group bagi melaksanakan pembelian 37 peratus EHP selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Justeru, dakwaan sesetengah pihak terutama dari kalangan ahli politik pihak pembangkang yang mengatakan FELDA sudah melakukan pembayaran kepada Rajawali Group adalah tidak benar sama sekali.

"Ini adalah potensi perniagaan baharu FELDA memasuki pasaran Indonesia yang luas dengan penduduk seramai 260 juta orang, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi penggiat utama industri minyak sawit global.

"Pelaburan ini akan bertindak sebagai pencetus untuk bergerak ke hadapan dalam agenda Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang baru ditubuhkan bagi menstabilkan harga minyak sawit global," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada 30 November 2015, FELDA memeterai perjanjian perjanjian jual beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli ekuiti dalam EHP, yang juga antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia, sekali gus membolehkan FELDA memperoleh akses kepada tanah perladangan lebih 320,000 hektar di negara itu.

Tambah Razali, keputusan yang dicapai itu akan membuka peluang kepada FELDA dan syarikat bersekutunya untuk mengembangkan perniagaan masing-masing memasuki pasaran serantau terutama Indonesia yang sedang pesat berkembang.

Katanya, FELDA sentiasa mencari peluang perniagaan baharu yang memberi keuntungan kepada peneroka dan negara, sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaburan ini akan merugikan kerana menggunakan sumber kewangan peneroka.

"Pihak kerajaan terbabit secara langsung bagi memantau program ini supaya mendatangkan hasil dan tidak menjejaskan FELDA, malah pembiayaan ini tidak menggunakan dana FELDA yang sedia ada kerana ia berbentuk pinjaman yang diperolehi daripada kerajaan," katanya.

Berita Harian X