Isnin, 9 Januari 2017 | 3:08pm

Poh Kong cadang buka 5 lagi cawangan


Gambar fail, oren, yang melambangkan tuah dan kekayaan menurut kepercayaan Cina, diberi kepada Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon (dua dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah pertandingan majlis AEON "Belanja dan Menang" ke 32 dan pelancaran AEON Baru Cina kempen tahun 2017 di sebuah pusat membeli-belah di Cheras Selatan, 5 Januari lalu. Turut kelihatan ialah Pengarah Eksekutif AEON Co (M) Berhad Poh Ying Loo (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Poh Kong, rangkaian kedai emas terbesar di Malaysia, merancang membuka tiga hingga lima lagi cawangan pada tahun ini dengan anggaran pelaburan antara RM3 juta hingga RM5 juta bagi setiap cawangan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Poh Kong Holdings Berhad (PKHB), Edison Choon berkata, dua lokasi untuk cawangan terbaharu itu telah dikenal pasti iaitu di Johor manakala selebihnya masih di dalam perancangan.

"Sehingga kini, Poh Kong mempunyai 100 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan kami terus aktif mencari peluang untuk mengembangkan dan mengukuhkan penguasaan pasaran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunnya di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Choon Yee Seiong; Pengarah Subsidiari PKHB, Siow Der Ming serta Ketua Hal Ehwal Korporat, Pengurusan dan Sumber Manusia PKHB, Margaret Hon.

Mengulas mengenai unjuran pasaran tahun ini, Margaret berkata ia disifatkan sebagai sedikit mencabar.

"Walau bagaimanapun, prestasi Kumpulan untuk suku pertama yang berakhir 31 Oktober menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"Justeru, bersandarkan kepada pencapaian berkenaan, kami yakin akan dapat mencatatkan prestasi yang lebih baik untuk tahun ini dan permintaan pasaran untuk emas akan kembali meningkat," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan mengambil beberapa langkah kewangan termasuklah menyeragamkan perniagaan, pengurusan bekalan dan inventori yang lebih ketat, mengurangkan tenaga kerja serta membuat belian pukal bagi mendapatkan harga yang lebih rendah.

"Kami juga akan memberi tumpuan yang lebih kepada pasaran yang berpotensi seperti di Lembah Klang kerana ia menyumbang 71 peratus pendapatan jualan.

"Selain itu, medium jualan atas talian juga menunjukkan peningkatan jualan dan kami merancang untuk menambah beberapa saluran lagi pada tahun ini," katanya.

INFO:

*PKHB mencatatkan pendapatan jualan berjumlah RM776.53 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2016

Berita Harian X