Isnin, 9 Januari 2017 | 2:02pm

BR-V tampil rekaan SUV sporty


HONDA BR-V bakal menjadi taruhan baharu jenama dari Jepun di pasaran Malaysia.

SPORTY dan memiliki tarikan tersendiri! Itulah tanggapan penulis apabila kali pertama melihat Honda BR-V ketika dipertontonkan dengan model Crossover tujuh tempat duduk itu pada Pameran Malaysia Autoshow 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC) November lalu.

Penulis menerima undangan Honda Malaysia Sdn Bhd untuk memandu uji model berkenaan di Bangkok, Thailand bagi memperoleh gambaran lebih jelas dan merasai sendiri karakter kenderaan yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada suku pertama 2017.

Untuk rekod, Honda BR-V yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN menggunakan platform Honda Brio sudah pun dilancarkan di Indonesia, Thailand, India dan Filipina yang menyaksikan permintaan sangat menggalakkan dalam kalangan pengguna negara terbabit.

Di Thailand, Honda ada memperkenalkan BR-V dengan lima tempat duduk sahaja, seperti Nissan Livina X-Gear dan Grand Livina di Malaysia. Namun Honda Malaysia berkata, hanya BR-V tujuh tempat duduk yang akan dilancarkan untuk pasaran negara ini.

Model yang dipandu uji adalah spesifikasi Thailand, bermakna enjin 1.5L dan transmisi CVT tetap sama, cuma mungkin akan terdapat sedikit perubahan dengan model yang akan diperkenalkan di Malaysia bagi disesuaikan dengan cita rasa pengguna tempatan, selain mengambil kira faktor kos.


Tork Maksimum: 145 Nm pada 4,600 rpm.

Sesi pandu uji yang dirancang adalah dari hotel kami di Sathorn, Bangkok ke Pasaya Factory Outlet di wilayah Ratchaburi membabitkan perjalanan melebihi 200 kilometer (km).

Begitupun sejurus tiba di hotel penginapan pada hari pertama lagi, rombongan media diberikan peluang "memanaskan badan" dengan sesi pemanduan ringkas BR-V yang dirancang oleh Honda Malaysia, sebelum sesi pandu uji sebenar keesokan hari.

Sebaik memasuki ruang dalaman BR-V, penulis dapati ia tampak moden sambil beberapa komponennya kelihatan hampir sama dengan Honda City mahu pun Jazz, namun tetap memiliki tarikan dari segi keselesaan dan keselamatan.

BR-V tidak lebar, tetapi ruang dalamannya agak luas serta boleh memuatkan penumpang yang bertubuh agak sasa dan tinggi dengan selesa.

Barisan kedua antara tempat paling selesa untuk duduk, dipadankan blower di siling kepala untuk merasai pendingin hawa, manakala kerusi barisan ketiga agak tinggi sedikit yang membolehkan lutut penumpang tidak terlalu bengkok seperti mencangkung.

Walaupun BR-V ialah kenderaan dengan tujuh tempat duduk, ia masih memiliki ruang tempat letak barang atau ruang but yang agak luas.


WALAUPUN BR-V ialah kenderaan dengan tujuh tempat duduk, ia masih memiliki ruang tempat letak barang atau ruang but yang agak luas.

Dari segi sistem audio, kenderaan ini dipadankan dengan sambungan USB pada skrin audio itu sendiri. Kawalan suara boleh dilakukan di stereng atau pada skrin utama LCD.

Model yang dipandu uji tidak mempunyai navigasi satelit tetapi menurut Honda Malaysia, kamera undur dan Bluetooth ialah aksesori standard.

Beralih ke aspek pemanduan, sekalipun dikuasakan dengan enjin i-VTEC 1.5 Liter (L), untuk mencapai kelajuan 130-150 kilometer sejam (km/j) bukanlah sukar bagi BR-V ini, apatah lagi konvoi sesi pandu uji kami membabitkan dua atau tiga orang sahaja dalam satu kenderaan.

Namun, penulis jangkakan jika dengan penumpang penuh, kuasanya mungkin akan sedikit menurun, tetapi masih mencukupi kerana BR-V bukan dicipta untuk tujuan berlumba.

Laluan berbeza pada sesi pandu uji yang membabitkan lebuh raya dan jalan biasa melalui kampung dan sawah padi, cukup sesuai untuk menguji keupayaan BR-V sebagai sebuah kenderaan seharian dan keluarga.


RUANG dalaman yang selesa untuk pemandu dan penumpang.

Pengendalian kenderaan ini di selekoh cukup stabil walaupun ada ketikanya enjin dipaksa bekerja keras apabila menginginkan pecutan serta-merta.

Selain itu, penggunaan bahan apinya juga amat menjimatkan kerana kami hanya menggunakan kira-kira separuh tangki untuk perjalanan seharian melebihi 200 km yang penuh dengan pecutan laju dan trafik sesak.

Model tujuh tempat duduk ini ditawarkan dengan dua varian yang dijual pada harga atas jalan RM85,800 bagi varian E dan RM92,800 (varian V).

Kesimpulannya, jika anda mahukan sebuah kenderaan untuk dipandu seharian, tetapi kadang kala memerlukan kenderaan tujuh tempat duduk, BR-V sesuai dipertimbangkan.

Spesifikasi Honda BR-V

Enjin: enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC.

Kuasa Maksimum: 120 hp pada 6,600 rpm

Tork Maksimum: 145 Nm pada 4,600 rpm.

Transmisi: CVT Earth Dream

Panjang: 4.455m

Lebar: 1.735m

Tinggi: 1.65m


WAKIL media merakamkan gambar kenangan.

Berita Harian X