Isnin, 9 Januari 2017 | 1:12pm

Adira terharu suami hadir ke majlis 'baby shower'


Penyanyi, Adira pada Majlis 'baby shower' yang dianjurkan oleh peminatnya di Hotel Royal Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, 26, menitiskan air mata dengan kehadiran mengejut suaminya, Datuk Adnan Abu, 39, pada majlis 'baby shower' yang diadakan khas buatnya di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Pemilik nama penuh, Siti Adira Suhaimi, berkata sejak hamil, beliau yang kurang gemar dengan elemen kejutan mudah menitiskan air mata.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia ini juga terharu dengan kehadiran suami tercinta yang turut berduet bersamanya menyanyikan lagu Ombak Rindu.

"Perasaan saya bercampur baur antara gembira, terharu dan terkejut. Tidak sangka setelah dikejutkan dengan majlis begini, saya diberikan satu lagi hadiah iaitu kehadiran suami dengan menyanyikan lagu duet Ombak Rindu.


Penyanyi, Adira bersama suaminya, Datuk Red pada Majlis 'baby shower' yang dianjurkan oleh peminatnya di Hotel Royal Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menganjurkan majlis sempena menyambut bayi yang diadakan pada hari ini (semalam). Kelab peminat, pihak media dan pengurus menjadi tulang belakang membantu kerjaya seni saya.

"Saya mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis sebegini, namun menunggu masa yang sesuai kerana usia kandungan baru tujuh bulan. Kalau ada sekalipun, doa kesyukuran yang akan diadakan di Sabah iaitu tempat kelahiran saya," katanya kepada BH Online.

Pelantun lagu Dewi Cinta itu pernah meluahkan hasrat untuk bersalin di Sabah, namun menukar hasrat terbabit kerana ibunya bersetuju untuk menjaga beliau sepanjang tempoh berpantang nanti di ibu kota.

"Saya berhasrat untuk melahirkan cahaya mata sulung di kampung halaman untuk berada dekat bersama ibu. Namun, suami memujuk ibu untuk datang menjaga saya di sini, lagipun keadaan di Sabah kurang stabil kerana mengalami gempa bumi.

"Semoga segala yang dirancang berjalan lancar. Tidak kisah di sini atau Sabah, saya berharap proses bersalin nanti dipermudahkan oleh-Nya," kata Adira.

Dalam perkembangan terbaharu, lagunya yang dinyanyikan bersama Mark Adam berjudul Pangako Sayo bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X