Isnin, 9 Januari 2017 | 12:02am

Kanak-kanak cemas kepala tersepit di jeriji


SEORANG kanak-kanak lelaki tersepit di gril pintu hadapan rumah telah berjaya diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan rescue cutter kejadian di Lorong Seri Banang 11B, Taman Seri Andalas, Klang. - Foto Ihsan Bomba

KLANG: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun melalui saat cemas apabila kepalanya tersepit di jeriji rumah, dalam satu kejadian kira-kira jam 8.40 malam tadi, di Taman Seri Andalas, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, sebaik menyedari kejadian itu, datuk mangsa bergegas ke Balai Bomba dan Penyelamat Andalas yang terletak berdekatan dengan rumahnya untuk mendapat bantuan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Enam anggota dikerahkan ke rumah mangsa untuk mengeluarkan kepala mangsa dari celah jeriji pintu utama kediaman berkenaan.

"Mereka terpaksa menggunakan alat pemotong dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Mohd Sani berkata, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan.

Berita Harian X