Ahad, 8 Januari 2017 | 9:03pm

Melaka United terus uji pemain di Kemboja

PHNOM PENH: Melaka United (MU) kesal kesilapan teknikal menyaksikan jadual asal perlawanan persahabatan tidak dapat dilangsungkan mengikut perencanaan ketika kunjungan tujuh hari skuad terbabit di bandaraya Phnom Penh, Kemboja sehingga Selasa ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, selepas beraksi berdepan ARMY FC pada saingan pembukaan Rabu lalu.

MU dijadualkan bertemu Cambodian Tigers semalam tetapi dibatalkan manakala jadual hari ini yang sepatutnya berdepan salah sebuah pasukan utama di liga berkenaan juga terpaksa diganti pasukan lain.

Menurutnya, dia kecewa dengan kesilapan teknikal berkenaan namun jadual yang ada tetap diteruskan bagi memastikan pasukan tidak hampa ketika kunjungan sempena perlawanan persahabatan pra musim berkenaan.

"Apapun, kami berpuas hati dengan perlawanan petang tadi menerusi kejayaan 3-0 mengatasi lawan. Persembahan pasukan juga dilihat semakin meningkat dengan persefahaman yang meyakinkan.

"Kami mengharapkan sentuhan pemain lebih bertenaga pada pertemuan terakhir berdepan pasukan Boeng Ket Angkor FC yang juga juara liga Kemboja malam esok di Stadium Olimpik Phnom Penh sekali gus mengharapkan saingan akan memberi impak besar terhadap keyakinan pemain," katanya di sini, hari ini.

Kapten skuad kebangsaan yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Amri Yahyah dijangka disenaraikan pada pertemuan berkenaan selepas tidak diturunkan pada perlawanan kedua ketika kunjungan berkenaan.

Pada perlawanan pertama MU tewas 1-3 kepada pasukan ARMY FC yang juga berada di tangga kedua Liga Kemboja terbabit, namun skuad pelawat tidak menurunkan kesebelasan terbaiknya ketika itu.

Pada perlawanan malam esok, jurulatih skuad Hang Tuah, Eric Williams dijangka menurunkan skuad bayangan MU yang bakal beraksi di Liga Super berdepan Kelantan pada 21 Januari ini di Kota Bahru.

Berita Harian X