Ahad, 8 Januari 2017 | 6:15pm

JCorp, Kelab Media Johor lancar tabung Prihatin Aceh


KAMARUZZAMAN (dua dari kanan) menyerahkan cek kepada Mohamad Fauzi (tengah) selepas melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh, di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Kelab Media Johor (KMJ) melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh, di sini hari ini.

Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh itu diwujudkan bagi membantu wilayah Aceh yang dilanda bencana gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud pada Disember tahun lalu.

Gempa yang berlaku pada jam 5.03 pagi waktu tempatan itu turut mengakibatkan lebih 100 orang maut, hampir 1,000 cedera termasuk kehilangan tempat tinggal serta pelbagai kerosakan membabitkan tiga daerah di Pidie Jaya, Bireuen dan Pidie.

Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak, berkata susulan daripada itu, JCorp-KMJ mengadakan kunjungan awal ke wilayah Aceh dan daerah yang terjejas teruk akibat daripada gempa bumi iaitu di Pidie Jaya pada 3 hingga 5 Januari lalu.

"Kami sendiri turut dimaklumkan wakil Bupati Pidie Jaya, Said Mulyadi bahawa pihak mereka amat memerlukan sumbangan tidak kira dalam bentuk wang ringgit mahupun secara fizikal daripada pelbagai pihak.

"Oleh itu, menerusi Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh ini, wang yang berjaya dikumpulkan ini akan disumbangkan bagi membaik pulih sebuah masjid yang dibina pada tahun 1922 iaitu Masjid Ahlissilsilah di Gampong Reudep Kecamatan Pante Raja di Pidie Jaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Haris Nugroho di sini, hari ini.

Mohamad Fauzi berkata, sumbangan bagi membaik pulih masjid itu adalah atas cadangan dan nasihat daripada Bupati Pidie Jaya, selain melihat menghulurkan sumbangan yang berjaya dikumpul kepada beberapa pihak lain mengikut keperluan.

Berita Harian X