Ahad, 8 Januari 2017 | 3:57pm

Olog-Olog masuk perangkap


SEEKOR buaya berukuran 3.2 meter berjaya ditangkap menerusi perangkap yang dipasang di Sungai Togop, Kampung Ramayah, Penampang, pagi tadi. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

PENAMPANG: Seekor buaya berukuran 3.2 meter berjaya ditangkap menerusi perangkap yang dipasang di Sungai Togop, Kampung Ramayah di sini, pagi tadi.

Buaya dipanggil 'Olog-Olog' yang dianggarkan berusia antara 10 hingga 15 tahun itu ditangkap susulan laporan penduduk Sabtu lalu yang menyedari kehadiran reptilia itu yang semakin membesar dan membahayakan kerana memakan haiwan peliharaan mereka.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga, berkata perangkap dipasang petang semalam oleh anggota Unit Penyelamatan Hidupan Liar dan buaya itu dikesan memasuki perangkap kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Penduduk melaporkan buaya itu sudah berbulan-bulan tinggal di sungai berkenaan dan mereka memutuskan untuk membuat laporan JHLS selepas menyedari ia semakin berbahaya.

"Ia adalah buaya terbesar pernah ditangkap di Penampang," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod JHLS, buaya terbesar pernah ditangkap di negeri ini adalah berukuran 5.6 meter di Sungai Kinabatangan.

‎‎Augustine berkata, buaya terbabit akan letakkan sementara di Taman Hidupan Liar Lok Kawi sebelum dilepaskan di kawasan terpencil yang jauh dari penempatan penduduk.

Katanya, peningkatan drastik populasi buaya dipercayai berlaku sejak 30 tahun lalu selepas usaha diambil bagi melindungi spesies itu dengan membekukan pengeluaran permit memburu.

"Kami melihat peningkatan drastik dalam bilangan laporan gangguan buaya di sungai, termasuk kes konflik manusia dan buaya di seluruh Sabah.

"‎"Dalam tempoh enam tahun bermula 2010, lebih 75 ekor buaya ditangkap oleh Unit Penyelamatan Hidupan Lia di kawasan yang mempunyai konflik dengan penduduk dan haiwan itu akan dipindahkan ke sungai yang jauh dari penempatan manusia," katanya.

Berita Harian X