Ahad, 8 Januari 2017 | 3:43pm

MPK sita 36,000 bunting, papan tanda tahun lalu


ANGGOTA penguat kuasa MPK menjalankan operasi menurunkan bunting dan papan tanda haram di sekitar Kuantan, hari ini. - Foto Nurul Nadira Shaari

KUANTAN: Sebanyak 36,000 bunting dan papan tanda disita Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam operasi dijalankan sepanjang tahun lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian, berkata jumlah berkenaan membabitkan rampasan oleh Jabatan Pelesenan dan penguat kuasa dalam operasi di sekitar bandar ini. 

"Kebanyakan bunting yang diturunkan pihak berkuasa adalah iklan yang menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, selain iklan perniagaan seperti perkhidmatan ubah suai rumah yang tidak mendapat kebenaran MPK. 

"Kami juga bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Jenayah Komersial untuk mengesan individu tidak bertanggungjawab menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen di daerah ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Izad Zainal berkata, pihaknya turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan nombor telefon individu yang memberi pinjaman wang haram itu.

"Selain itu, kami juga mengeluarkan 25 notis penurunan visual terhadap peniaga yang menaikkan papan tanda tanpa kelulusan MPK kerana boleh mencacatkan pemandangan persekitaran bandar ini," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X