Ahad, 8 Januari 2017 | 2:00pm

BIKUM, Pejabat MB bantu Ramadhan

DUNGUN: Perdana Menteri melalui Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) dan Pejabat Menteri Besar Terengganu bersetuju menaja Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang menghidap penyakit leukemia mengerjakan umrah.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pakej mengerjakan umrah akan diuruskan oleh kerajaan negeri manakala perbelanjaan dan kos perubatan ditaja oleh Perdana Menteri melalui BIKUM.

Katanya, Muhammad Ramadhan dijangka mengerjakan umrah bersama ibunya pada 18 Januari ini selepas berita mengenai hasratnya untuk ke tanah suci mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman apabila disiarkan oleh BH, baru-baru ini.

"Melihat penderitaan Ramadhan dan ibunya yang terpaksa menanggung segala kos perubatan, pihak kami terpanggil untuk membantu mereka.

"Memandangkan proses perubatan Ramadhan sudah tidak dijalankan lagi kerana penyakitnya sudah berada pada tahap empat, kita akan memenuhi hasratnya menunaikan umrah bersama ibunya," katanya selepas melawat Ramadhan di rumahnya di Taman Perumahan Beril di sini, hari ini.

SHAMSUL (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ramadhan di rumahnya di Kampung Beril, Paka, hari ini. - Foto Rosli Ilham

Shamsul berkata, segala keperluan perubatan selama dua minggu ketika berada di Makkah akan disediakan BIKUM melalui doktor pakar BIKUM.

"Saya berharap proses untuk Muhammad Ramadhan mengerjakan umrah dari segi pasport, dokumen dan perubatan dapat dilaksanakan dengan segera. Selain itu, kami di BIKUM juga berharap semua rakyat Malaysia dapat mendoakan kesihatan Muhammad Ramadhan dan ibunya ketika berada di tanah suci dan beliau kembali sihat seperti sedia kala," katanya.

Berita Harian X