Ahad, 8 Januari 2017 | 9:27am

Silat Cekak Hanafi buka 55 pusat latihan di Johor


SPEAKER Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz melancarkan gimik perasmian sempena Majlis Makan Malam 30 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor di Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Silat Cekak Hanafi Johor yang kini mencecah usia 30 tahun sudah mewujudkan sebanyak 55 pusat dan kelas latihan seni mempertahankan diri itu di negeri ini.

Pewaris Mutlak Silat Cekak, Dr Md Radzi Hanafi, berkata seni mempertahankan diri tradisional itu turut aktif dan berkembang di universiti awam serta sekolah, membabitkan pelajar seawal usia 13 tahun.

"Silat Cekak Hanafi yang ditubuhkan di peringkat nasional sejak 50 tahun lalu tidak hanya menumpukan kegiatan persilatan sahaja, malah membabitkan aktiviti keagamaan, ekonomi, sosial dan promosi pelancongan anjuran badan kerajaan dan swasta.

"Ini juga dapat dibuktikan apabila Silat Cekak Hanafi diiktiraf oleh Guiness World Records pada 29 Ogos 2015 bagi kategori 'Largest Silat Lesson' dengan penyertaan seramai 12,393 pesilat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan 30 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor yang dirasmikan oleh Speaker Dewan negeri, Tan Sri Mohamad Aziz di sini, malam tadi. Yang hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor, Mohd Shukor Abu Hassan.

Majlis itu diadakan bagi mengenang dan menghargai jasa penggerak serta pendukung Silat Cekak Hanafi yang dihadiri lebih 400 pesilatnya dari seluruh negara.

Di Johor ketika ini, ada lebih 20,000 ahli Silat Cekak Johor yang berdaftar dengan 200 tenaga pengajar, termasuk 50 wanita yang mengajar seni mempertahankan diri itu.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, kerajaan Johor menyokong sebarang aktiviti yang membina sahsiah dan keperibadian terutama dalam kalangan belia.

Katanya, silat bukan sekadar warisan atau seni mempertahankan diri, tetapi juga warisan bangsa Melayu yang boleh terus diamalkan dalam era moden sekarang.

"Menerusi silat, amalan disiplin dan jati diri dapat dibentuk serta diperkukuh, sekali gus menjadi individu yang menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Berita Harian X