Sabtu, 7 Januari 2017 | 11:31pm

Rooney samakan rekod Bobby Charlton


WAYNE Rooney . - Foto AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Wayne Rooney menyamai rekod Bobby Charlton di Manchester United ketika pasukannya mengatasi kelab bimbingan bekas pertahanan United, Jaap Stam, Reading 4-0 pada aksi pusingan ketiga Piala FA, sebentar tadi.

Skuad kendalian Jose Mourinho mencipta kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua perlawanan tetapi tumpuan kini terarah kepada kapten United yang dipanggil semula, Rooney, yang menyamai catatan rekod Charlton dengan 249 gol.

Rooney, 31, memerlukan hanya tujuh minit untuk menyamai rekod itu yang dicipta pada Mac 1973, ketika bola terkena lutut kanannya hasil hantaran lintang Juan Mata.

Anthony Martial menjadikan kedudukan 2-0 selepas 15 minit perlawanan sebelum Marcus Rashford menjadikan perlawanan selamat buat tuan rumah menerusi gol kedua peribadinya.

Seperti dijangkakan, pengurus United Mourinho melakukan sembilan pertukaran daripada skuad yang menang 2-0 di West Ham United, Isnin lalu dengan hanya Marcos Rojo dan Michael Carrick menjadi dua pemain dikekalkan. - AFP

Berita Harian X