Sabtu, 7 Januari 2017 | 9:32pm

Warga emas maut motosikal dirempuh kereta

KEADAAN kereta yang melanggar motosikal ditunggang sepasang suami, menyebabkan seorang terbunuh di Sabak Bernam, pagi tadi. - Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Seorang warga emas maut manakala suaminya cedera parah apabila motosikal ditunggang dirempuh kereta di Kampung Tebok Pulai, di sini, pagi tadi.

Perlanggaran di persimpangan Lorong Melati itu menyebabkan Arbai Maskam, 69, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Sabtu @ Mukhlas Nahrawi, 78, patah paha kiri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata pasangan yang menaiki motosikal jenis Honda Wave itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Lorong Cempaka dari pekan Sungai Besar kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, mangsa dilanggar kereta dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama ibunya yang berusia 62 tahun dari arah Jalan Parit 4 1/2 Barat menuju lorong sama.

"Pemandu kereta dipercayai tidak memberhentikan kenderaannya di simpang empat itu, sebaliknya terus menuju ke Lorong Cempaka sebelum melanggar bahagian kiri motosikal ditunggang mangsa.

"Susulan rempuhan itu, Sabtu @ Mukhlas jatuh di atas jalan raya dan cedera parah manakala isterinya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta dan ibunya turut cedera ringan.

"Mangsa yang cedera dibawa oleh ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk rawatan manakala mayat Arbai dihantar untuk bedah siasat," katanya.

Nor Azmi berkata, pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X