Sabtu, 7 Januari 2017 | 11:32am

Getah dijangka diniaga bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan bercampur-campur dengan jangkaan pengukuhan harga dan peningkatan sentimen positif terhadap komoditi itu, kata peniaga.

Harga pada minggu depan juga berkemungkinan dipengaruhi pergerakan di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM), ringgit dan prestasi niaga hadapan minyak metah.

Harga niaga hadapan di TOCOM, yang akan menentukan harga tayar di Asia Tenggara, dijangka meningkat memandangkan yen menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, beliau berkata, ringgit, yang mempamerkan sedikit kenaikan, dijangka mengekang permintaan dalam pasaran getah tempatan bagi sementara waktu.

"Ini, ditambah dengan unjuran lembap terhadap pertumbuhan global, selain minyak mentah masih dianggap komoditi yang lemah berikutan keraguan berlarutan berhubung komitmen pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), akan mempengaruhi unjuran bercampur-campur minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga lain berkata minat belian dilaporkan kukuh susulan jangkaan bekalan yang terhad.

"Memandangkan sentimen bercampur-campur berterusan, kami menjangkakan dagangan dalam jajaran kecil dengan peningkatan harga selepas mengalami pembetulan kecil.

"Harga gred tayar SMR 20 diunjur menguji paras 900 sen sekilogram sekali lagi," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, sentimen pasaran adalah bercampur-campur dipengaruhi terutamanya ketidaktentuan di TOCOM, ringgit serta niaga hadapan minyak Brent dan West Texas Intermediate, yang menjadi penanda aras harga minyak mentah dunia.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 meningkat 7.5 sen kepada 878.5 sen sekilogram bagaimanapun susu getah pukal susut setengah sen kepada 645.0 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 naik empat sen kepada 888 sen sekilogram dan susu getah pukal tidak berubah pada 645.0 sen sekilogram. - BERNAMA

Berita Harian X