Sabtu, 7 Januari 2017 | 1:06am

Mourinho turut kritik anugerah FIFA


Jose Mourinho.

ZURICH: Jose Mourinho sependapat dengan Arsene Wenger yang mengkritik konsep anugerah pemain terbaik dalam sukan bola sepak.

Majlis anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal berlangsung di sini pada Isnin ini, Isnin dengan tiga calon hangat memenanginya membabitkan Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau Antoine Griezmann.

Pemenang anugerah itu adalah berdasarkan undian tertinggi peminat.

Bagaimanapun, pengendali Manchester United itu mengkritik anugerah berkenaan kerana dianggap berlawanan dengan bola sepak yang sebenarnya sukan berpasukan.

"Secara jujur, saya bukanlah peminat anugerah berbentuk individu itu. Bola sepak adalah sukan berpasukan.

"Pasukan yang memenangi perlawanan, pemain tidak penting berbanding pasukan.

"Media dan peminat sukakannya tetapi minat pengurus tidak begitu kerana wujud beberapa perkara bertentangan dengan matlamat kerjaya kami berbanding anugerah menghargai sumbangan secara individu," katanya kepada FIFA.com

Sebelum ini, pengurus Arsenal, Wenger juga lantang mengkritik konsep anugerah dikendalikan FIFA itu sambil mendakwa pengiktirafan menerusi anugerah hanya mencetus sifat tamak dalam kalangan pemain bola sepak.

Menurutnya, ketika ini pelbagai anugerah diberikan kepada pemain sama ada di peringkat nasional, benua mahu pun peringkat dunia.

FIFA sebelum ini turut memberikan anugerah Ballon d'Or bersama majalah bola sepak Perancis, namun anugerah itu kini hanya dianjurkan majalah berkenaan dengan calon pemenang terus menjadi bahan gembar-gembur yang hangat diperkatakan peminat.

Mourinho bagaimanapun mengakui gembira muncul pemenang anugerah jurulatih terbaik FIFA yang pertama pada 2010 selepas pasukan bimbingannya ketika itu, Inter Milan, menjuarai Serie A, Piala Itali dan Liga Juara Juara serentak dalam satu musim.

"Ia memang anugerah sebenar kerana ia kekal dalam sejarah sebagai anugerah pertama FIFA untuk seorang jurulatih.

"Begitupun, saya perlu ulangi saya adalah orang dalam pasukan.

"Ia adalah tahun kejayaan treble bersama Internazionale. Ia bukan musim untuk Mourinho sendirian, ia adalah musim kejayaan Inter.

"Itulah perasaan sebenar yang saya rasa mengenai tugasan sebagai jurulatih bola sepak," katanya. - AGENSI

Berita Harian X