Jumaat, 6 Januari 2017 | 10:28pm

Rumah orang tua terbakar, 4 warga emas sesak nafas


SEBAHAGIAN penghuni rumah orang tua di Jalan Raja Uda, Butterworth menyelamatkan diri dalam kebakaran di premis itu malam ini.

BUTTERWORTH: Empat penghuni rumah kebajikan menempatkan warga emas di Jalan Raja Uda, di sini, dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat sesak nafas dipercayai terhidu asap, dalam kebakaran di premis itu malam ini.

Dalam kejadian jam 8 malam, empat warga emas berusia lingkungan 66 hingga 75 tahun, dibawa ke hospital apabila mereka mengadu penat dan sukar untuk bernafas selepas dipercayai terhidu asap daripada kebakaran itu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut sumber, kebakaran itu berpunca daripada fius elektrik di premis itu yang dikatakan mengeluarkan asap dan percikan api.

"Kejadian itu disedari penghuni rumah berkenaan dan mereka bergegas keluar menyelamatkan diri sementara pemilik premis menghubungi bomba.

"Tindakan pantas bomba memadamkan kebakaran itu mengekang api daripada merebak ke tempat lain," katanya.

Difahamkan, 25 warga emas berada di premis berkenaan ketika kejadian.

Berita Harian X