Jumaat, 6 Januari 2017 | 9:22pm

Selia-Tek sasar memasuki pasaran Singapura, Asia Barat


KASIM Sotin (tengah) bersama Ahmad Maslan memeriksa pemprosesan picagari ketika lawatan Kilang Selia - Tek Industri Sdn Bhd di Kota Damansara . - Foto Nurul Shafina Jemenon

PETALING JAYA: Selia-Tek Holdings Sdn Bhd, pengeluar peralatan industri, merancang memperluaskan pasaran eksportnya ke Singapura dan Asia Barat tahun ini, terutama menerusi produk perubatan pakai buang. 

Pengarah Urusan Kumpulannya, Kasim Sotin, berkata produk berkenaan kini menjadi penyumbang utama perniagaan syarikat, selain segmen kabel elektrik yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Katanya, berdasarkan permintaan semasa, syarikat merancang memperluaskan produk perubatan pakai buang seperti jarum dan picagari selain bekas simpanan darah ke pasaran Asia Barat dan Singapura. 

"Sebelum ini, produk perubatan kami sudah memasuki pasaran United Kingdom, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan Kemboja," katanya selepas lawatan kerja delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di kilang serta pejabat Selia-Tek di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan. 

Kasim berkata, setakat ini, 80 peratus keluaran Selia-Tek adalah bagi pasaran domestik, manakala bakinya di eksport.

Beliau berkata, syarikat menyasarkan jualan bernilai RM60 juta pada tahun ini, dipacu dengan perkembangan perniagaan peralatan perubatan pakai buang. 

"Perniagaan peralatan kesihatan kini menjadi tumpuan kami berikutan produk kesihatan syarikat memenuhi piawaian antarabangsa yang boleh diguna pakai di pelbagai negara.  

"Lebih 60 peratus perniagaan kami adalah disumbangkan daripada segmen kesihatan," katanya sambil menambah syarikat juga berharap untuk meningkatkan nilai eksport kepada RM10 juta hingga RM12 juta tahun ini, berbanding RM8 juta tahun lalu.

Info

  • Selia-Tek ditubuhkan pada tahun 1990
  • Terima pelbagai insentif kerajaan termasuk melalui Program Pembangunan Vendor (PPV) TNB dan Pharmaniaga Bhd

Berita Harian X