Ahad, 14 Disember 2014 | 8:00am

Minyak bumi lawan minyak syal

Kunta Kinte selalu dengar orang kata, ekonomi susah nak faham. Orang muda pula kata, 'boring'. Yang lebih kerap cakap macam itu adalah orang Melayu.

Ini boleh jadi sebab orang Melayu tak kuasai ekonomi dan yang berniaga pun tak ramai berbanding orang Cina.

Tapi, apa pun pendirian kita berkenaan ekonomi, ia penting. Jadi, Kunta Kinte nak sambung sikit lagi perbincangan kita berkenaan kejatuhan harga minyak mentah.

Kunta Kinte dah sentuh berkenaan harga runcit minyak. Harga runcit petrol turun sikit walaupun subsidi dihapuskan seratus peratus. Harga runcit petrol turun sebab harga minyak mentah jatuh. Tapi harga diesel naik.

Sejak pertengahan tahun ini, harga minyak mentah dunia dah jatuh dekat 40 peratus daripada sekitar AS$100 setong kepada AS$60 setong.

Kita kena ambil tahu dan faham sebab ekonomi negara kita, pendapatan kerajaan dan pembangunan untuk kita, banyak bergantung kepada industri minyak dan gas.

Mula-mula dulu kita bergantung kepada hasil bijih timah dan getah. Lepas itu kepada, getah, kelapa sawit dan kayu-kayan. Sekarang asas ekonomi kita lebih luas. Selain komoditi, kita ada barangan keluaran kilang dan perkhidmatan. Jadi, ekonomi lebih tahan goncangan.

Macam mana pun, sektor minyak dan gas sangat besar. Kalau harga minyak jatuh, ekonomi kita akan rasa kesannya.

Ada tiga, empat sebab utama harga minyak mentah jatuh. Nombor satu, ekonomi dunia lembap. Bila ekonomi lembap, permintaan minyak jatuh. Bila permintaan kurang, harga akan turun.

Instrumen pasaran

Kedua, spekulasi dan kegiatan lindung nilai (hedging). Hari ini minyak mentah bukan saja diniagakan sebagai komoditi fizikal, tapi juga sebagai instrumen pasaran sama macam jual beli saham.

Ketiga, pengeluaran yang melebihi permintaan. Untuk imbangi pengurangan pendapatan akibat kejatuhan harga, negara-negara pengeluar minyak, khususnya yang jadi ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroliam (OPEC), tambah pengeluaran.

Yang keempat dan paling penting ialah persaingan antara minyak mentah bumi yang macam kita keluarkan dengan minyak daripada syal (shale), sejenis batu dari kelompok batuan sedimen.

Syal mengandungi minyak. Tetapi kos mengeluarkan minyak dari syal lebih mahal daripada minyak bumi. Tetapi kerana harga minyak bumi naik mendadak sedekad dua lalu dan teknologi makin canggih, minyak syal boleh dihasilkan dengan menguntungkan.

Minyak syal ini betul-betul macam cerita perah minyak dari batu. Melalui proses kimia, kandungan minyak batu syal boleh dikeluarkan. Komposisi kimia dan mutunya hampir sama dengan minyak mentah dari perut bumi.

Malah ada ramalan pakar kata, kos mengeluarkan minyak syal mungkin lebih murah daripada minyak mentah kalau dihasilkan secara besar-besaran. Ada lebih 40 negara di dunia yang ada deposit syal.

Mahu kekal monopoli

Inilah yang negara-negara OPEC, khususnya negara-negara Arab dan Iran, tak mahu. Mereka tak mahu monopoli mereka ke atas minyak mentah dipecahkan. Mereka nak bunuh industri minyak syal awal-awal lagi. Buat masa ini, mereka boleh tanggung harga minyak yang rendah pasal rizab minyak mereka sangat besar.

Jadi tak berapa betullah tanggapan dan pendapat sesetengah orang kita yang kata keadaan sekarang sementara saja. Kesan spekulasi dan lindung nilai ke atas harga minyak mungkin sementara, tapi implikasi persaingan antara minyak bumi dengan minyak syal akan berpanjangan.

Kita kena fahami dan buat persediaan segera dan jangka panjang untuk tangani perkembangan ini. Dalam skala dunia, kita negara pengeluar kecil saja. Tak layak pun jadi ahli OPEC. Tapi, minyak dan gas penting kepada ekonomi dan kesejahteraan kita. Jadi janganlah kita ambil ringan hal ini. Wallahuaklam.

Berita Harian X