Jumaat, 6 Januari 2017 | 11:49am

Wanita maut, anak cedera kemalangan


Kereta yang dipandu Norashikin remuk selepas dirempuh sebuah kereta lain dalam kejadian kemalangan di persimpangan Taman Robina, Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, malam tadi.

BUTTERWORTH: Seorang kerani maut manakala anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta lain dalam kejadian di persimpangan Taman Robina, Jalan Teluk Air Tawar di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, Norashikin Mohd Nordin Yusuf, 42, dan anaknya, Muhammad Rafiq Ramlan, 17, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, sebelum kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah belakang.

Menurut sumber, kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah Kepala Batas menghala ke Bagan Ajam di sini.

"Sejurus tiba di Jalan Teluk Air Tawar, mangsa dipercayai memberhentikan kenderaannya untuk memasuki persimpangan Taman Robina sebelum datang sebuah kereta lain dari arah belakang merempuh kereta mangsa.

"Akibat rempuhan itu, Norashikin yang memandu kereta berkenaan cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, untuk bedah siasat.

"Anak lelakinya yang turut cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X