Jumaat, 6 Januari 2017 | 9:42am

Murray, Djokovic mara separuh akhir Terbuka Qatar


MURRAY (kanan) dan Djokovic.- Foto Reuters

DOHA: Andy Murray dan Novak Djokovic kekal berada di landasan untuk menempah pertemuan pertama musim ini selepas kedua-dua bintang tenis dunia itu mara ke pentas separuh akhir Terbuka Qatar, di sini, sebentar tadi.

Dalam cuaca yang sejuk, Murray yang juga pemain nombor satu dunia melepasi halangan Nicolas Almagro dengan menewaskan lawan dari Sepanyol itu 7-6 (7/4), 7-5 sekali gus kemenangan ke-27 berturut-turut.

Djokovic yang juga pemain nombor dua dunia pula, mara ke pentas empat terakhir hasil kejayaan menjinakkan Radek Stephanek 6-3, 6-3.

Kedua-dua pemain terbaik dunia itu kini muncul pilihan untuk bertemu di final esok, tetapi ia tidak semudah disangka dengan Murray terus bergelut untuk mencatat kemenangan pada kejohanan ini selepas turut berdepan kesukaran ketika berdepan Gerald Melzer sebelum ini.

Pada aksi sebentar tadi, Murray membuat 18 kesilapan mudah sebelum akhirnya mengesahkan kemenangan ke atas pemain ranking ke-44 dunia dari Sepanyol itu.

"Ia pertarungan yang sukar, setiap set berakhir dengan sangat kecil jurangnya," kata Murray yang meraih 55 kemenangan set untuk hanya tercicir lima set dalam perjalanan cemerlangnya pada Jelajah ATP ketika ini.

"Keadaan cuaca menyukarkan saya hari ini, sangat sejuk, susah untuk menemui rentak."

Kemenangan itu bermakna Murray kini hanya kekurangan lima perlawanan di belakang Rafael Nadal untuk menyamai pencapaian 32 kemenangan berturut-turut. Rekod sepanjang zaman kini dipegang Djokovic dengan 43 kemenangan berturut-turut.

Murray akan bertemu Tomas Berdych esok. Bintang Republik Czech itu mengetepikan wakil Perancis Jo-Wilfried Tsonga 7-5, 6-3 manakala Djokovic menempah pertemuan separuh akhir menentang Fernando Verdasco. - AFP

Berita Harian X