Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:04am

Universiti tak iktiraf graduan KV tanpa SPM

KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Kolej Vokasional (KV) tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda meskipun mempunyai Diploma Vokasional Malaysia (DVM) kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit.

Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menetapkan antara syarat kelayakan untuk memasuki program ijazah sarjana muda ialah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun graduan DVM tidak menduduki peperiksaan itu.

Ini kerana pelajar terbabit memasuki KV menggunakan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan mengikuti kursus kemahiran itu selama empat tahun tanpa perlu menduduki SPM untuk memperoleh DVM.

Isu timbul berikutan kegusaran ibu bapa pelajar KV mengenai masa depan anak mereka selepas tamat pengajian DVM kerana mereka juga tidak layak untuk bekerja di sektor awam atas alasan sama, iaitu tidak memiliki SPM.

 Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus, berkata MTUN hanya bersedia menerima graduan DVM bagi mengikuti program teknologi kejuruteraan dengan syarat mereka mengikuti kursus peralihan selama satu atau dua semester di empat universiti MTUN.

"Kursus peralihan ini memerlukan graduan DVM mengambil beberapa mata pelajaran teras, iaitu Sains dan Matematik bagi mempersiapkan mereka mengikuti program peringkat ijazah sarjana muda teknologi kejuruteraan. 


PELAJAR jurusan kulinari sedang melakukan tugasan memasak di Kolej Vokasional ERT Setapak. - Foto Salhani Ibrahim

  "Subjek ini penting kerana ketika di KV pelajar terbabit tidak menduduki SPM, sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada subjek kemahiran, namun saya menjangkakan hanya sekitar 10 peratus sahaja pelajar yang berminat untuk mengikuti kursus peralihan ini," katanya kepada BH, semalam.

Pelajar KV mengikuti pengajian selama empat tahun dengan mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun kedua sebelum menduduki DVM pada tahun terakhir.

Bagaimanapun, Rosli berpendapat graduan DVM wajar diberi peluang yang lebih luas untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di universiti MTUN.

  "MTUN perlu memikirkan program atau bidang baharu dengan menawarkan ijazah sarjana muda profesional untuk lepasan KV berdasarkan minat dan kemahiran mereka, bukan hanya bergantung kepada teori semata-mata.

 "Kita akan bekerjasama dengan agensi kompetensi antarabangsa untuk mendapatkan pengiktirafan profesional dalam bidang ini selain berbincang dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mendapat pengiktirafan pada masa hadapan," katanya.

INFO Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)

  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)


PELAJAR lepasan kolej vokasional berdepan masalah melanjutkan pengajian. - Foto Mikail Ong

Graduan DVM tanpa SPM tetap laris di pasaran

Status pelajar lepasan Kolej Vokasional (KV) menjadi tanda tanya dan merisaukan ibu bapa kerana syarat kelayakan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di universiti memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lepasan KV menerima Diploma Vokasional Malaysia (DVM) selepas empat tahun pengajian, namun perlu memenuhi syarat pengalaman kerja sekurang-kurangnya sehingga berusia 21 tahun atau mendapat sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi membolehkan mereka memohon program sarjana muda di universiti.

Bapa kepada pelajar KV Sultan Abdul Samad, Banting, Aminuddin Samiran, berkata kebanyakan ibu bapa tidak mendapat maklumat jelas mengenai masa depan pelajar selepas memperoleh DVM, khususnya bagi yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kebanyakan pelajar, termasuk anak saya memperoleh keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang cemerlang dan sudah tentu sebagai bapa, saya harap anak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

"Ketika mendaftarkan anak, kami hanya diterangkan mengenai peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan dalam pelbagai industri sejurus tamat pelajaran, namun tiada maklumat berkaitan lanjutan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam," katanya, semalam.


PELAJAR Kursus Penyejukkan dan Penyamanan Udara Kolej Vokasional Klang melakukan latihan amali di bengkel. - Foto Amirul Wahid

Tak perlu ambil SPM

KV yang diperkenalkan pada 2012 hanya menetapkan pelajar perlu mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SKV) sebagai syarat kelayakan mengikuti Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tanpa perlu mengambil SPM.

Bagaimanapun, BH difahamkan selain pengalaman kerja dan sijil APEL, lepasan DVM yang memperoleh keputusan cemerlang boleh mengambil program praijazah jika berminat untuk menyambung pengajian di universiti.

Sementara itu, bapa pelajar Kolej Vokasional Azizah, Johor Bahru, Rosli Zahrom, berkata meskipun mengetahui anaknya, Muhammad Haziem sukar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, beliau yakin dengan kemahiran dibekalkan institusi berkenaan.

Katanya, sejak awal beliau sedia maklum program pengajian Diploma Seni Kulinari yang diikuti anaknya itu bukan untuk melahirkan graduan, tetapi lebih fokus kepada penghasilan tenaga mahir yang semakin diperlukan.


STATUS pelajar lepasan Kolej Vokasional menjadi tanda tanya kerana syarat kelayakan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di universiti memerlukan SPM. - Foto hiasan

Realisasi objektif program

"Anak saya ialah antara pelajar kohort kedua program diploma KV ini dan kini sedang mengikuti latihan industri di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru. Jadi saya yakin objektif program ini untuk melahirkan tenaga mahir mampu direalisasikan," katanya.

"Saya tiada masalah sekiranya dia hendak menyambung pengajian atau terus bekerja membuka perniagaan sendiri kerana melihat kepada kesungguhannya serta kemahirannya, dia mampu bersaing dalam industri," katanya.

DUA pasukan Kolej Vokasional bersama robotik ciptaan mereka yang memenangi tempat pertama dan kedua pertandingan Robotik Kebangsaan 2016 peringkat negeri Kelantan, kategori Menengah Tinggi. - Foto Fathil Asri
PELAJAR Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Seksyen 17, Shah Alam, Saktivel (kanan) dibantu bersama rakan menunjukkan kemahiran membuat lencana pada Program Jelajah dan Penerangan Dasar-Dasar Utama Kementerian Pendidikan Malaysia di Kompleks PKNS, Shah Alam, pada September 2016. - Foto Faiz Anuar
PELAJAR Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad menerangkan kepada pengunjung yang hadir sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X