Khamis, 5 Januari 2017 | 9:32pm

Sanchez sudah OK - Wenger


PEMAIN Arsenal, Alexis Sanchez. - Foto Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger hari ini meredakan rasa marah Alexis Sanchez selepas keputusan seri 3-3 berdepan Bournemouth dengan berkata, ia adalah perkara biasa kerana rasa kecewa.

Penyerang berusia 28 tahun itu - yang masih belum menandatangani kontrak baharu, bertelagah dengan rakan sepasukan dan pemain tengah, Aaron Ramsey ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi semalam.

Bintang Chile itu kemudian melempar sarung tangannya ke padang dan bergegas keluar menerusi terowong pemain selepas Gunners bangkit daripada ketinggalan 3-0.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan Sanchez - yang menjaringkan gol pembukaan Arsenal, enggan bercakap dengan rakan sepasukan dan hanya duduk mendiamkan diri dalam bilik persalinan .

"Apa yang menghairankan di situ?," kata Wenger menjawab persoalan mengenai gerak badan Sanchez yang negatif.

"Anda mahu memenangi perlawanan dan apabila tidak menang, anda tidak gembira - ia perkara normal.

"Jika tiada semangat, anda tidak mungkin dapat bangkit ketika ketinggalan 3-0 selepas 70 minit pertama dalam saingan liga.

"Pertama sekali, ia adalah menakjubkan, jarang berlaku dalam Liga Perdana dan anda perlu bertindak dengan istimewa, itulah yang terjadi.

"Kami mahukan kemenangan dan kami tidak menang, jadi kami semua kecewa. Sudah tentu (dia OK)," kata pengendali dari Perancis itu yang melihat skuad bimbingannya kini menghuni tangga kelima liga, lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Sekurang-kurangnya Sanchez diberikan cuti hujung minggu, seperti yang dikatakan Wenger.

Dia juga akan merehatkan pemain itu serta pemain tengah dari Jerman, Mesut Ozil, yang turut belum menandatangani kontrak baharu menjelang saingan pusingan ketiga Piala FA berdepan pasukan divisyen 2, Preston North End. - AFP

Berita Harian X