Sabtu, 13 Disember 2014 | 10:49pm

Generasi baharu wajar dipupuk integriti, etika

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti syarahan bertajuk 'Towards Creating a Society with Ethics and Integrity - The Way Forward' oleh Dr Ishak Ismail, seorang profesor dalam bidang pengurusan yang diberikan kepada mahasiswa tahun akhir dalam pengajian berkenaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Penulis tertarik mengikuti syarahan ini kerana ingin mendengar dari seorang ilmuan tentang kepentingan etika dan integriti yang diberikan kepada bakal pemimpin masa hadapan, anak-anak muda yang akan mencorakkan negara kita kelak.

Apatah lagi dalam keadaan kegawatan nilai yang kita hadapi sekarang, yang sukar membezakan antara nilai murni yang perlu dipertahankan dan dijadikan pegangan hidup dengan kepentingan kumpulan dan diri dalam konteks kuasa dan politik yang jika tidak berhati-hati akan merosakkan negara pada masa hadapan.

Hal ini amat dirasai kerana terdapat beberapa insiden termasuk yang dapat dibaca dalam status media sosial dan tindakan segelintir masyarakat yang amat membimbangkan kita. Lihat sahaja bagaimana status menghina seorang tokoh yang baharu meninggal dunia dengan kata-kata keji semata-mata kerana berbeza pandangan politik malah juga carut marut berterusan dalam komen di media atas talian mengenai pelbagai perkara yang seolah-olah menjadi satu gaya hidup baharu sekarang ini.

Usah beri muka

Malah kita melihat bagaimana mereka yang dianggap melakukan aktiviti
tidak bermoral, memaki hamun orang lain, memaparkan aksi erotik di internet, atau menyalahgunakan kebebasan yang ada melarikan diri ke negara asing, mencabar pihak berkuasa dan menganggap negara sendiri sebagai neraka untuk kebebasan hidup yang dipercayainya dibela oleh pihak tertentu walau tahu yang dipegangnya boleh merosakkan bangsa dan negara.

Seharusnya mereka seperti ini tidak diberikan layanan pun, apatah lagi sampai ke tahap menteri untuk memberi komen sehingga dia menganggap begitu penting.

Penulis bersetuju dengan pandangan Ishak dalam syarahannya yang mengingatkan anak-anak muda terhadap Wawasan 2020 yang mengungkapkan harapan apabila Malaysia menjadi negara maju, kita harus bangun sebagai masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi, berpegang kepada nilai etika dalam masyarakat yang demokratik, liberal, bertoleransi dan nilai-nilai lain.

Namun kata Ishak, agak malang tatkala kita mempunyai infrastruktur kelas pertama bertaraf dunia, kita masih berdepan masalah besar dalam membentuk masyarakat beretika tinggi yang kemungkinan besar disebabkan oleh kepantasan proses pembangunan yang mewujudkan masyarakat materialistik dan kita semakin jauh meninggalkan norma hidup, nilai-nilai murni dalam mengejar kejayaan peribadi dan tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan dalam hidup.

Pupuk budaya mulia

Kerana itu, katanya negara memerlukan tadbir urus korporat yang baik, mereka yang berintegriti, pemimpin yang jujur, ikhlas, pembentukan budaya yang menyokong kepada usaha ini dan yang utama ialah kembali kepada etika, akhlak yang mementingkan sikap saling hormat menghormati dan tauhid dalam sudut agama. Kita perlu menolak apa jua yang bertentangan dengan nilai-nilai ini.

Budi bahasa menggambarkan perihal seseorang yang menjaga tutur katanya kerana kata-kata apabila dilafaz adalah menggambarkan pemikiran seseorang yang boleh merosakkan jika tidak berhati-hati.

Budi pekerti adalah perihal pekerti seseorang, sifat dan perwatakan yang ditunjukkan melalui tingkah laku yang sopan atau dianggap biadab, manakala budi bicara adalah pertimbangan berasaskan pelbagai prinsip dengan mengambil kira kemashlahatan awam dan masyarakat.

Kerana itu, soal nilai dan etika mahu pun trilogi budi yang dipegang oleh masyarakat kita selama ini, apatah lagi jika kita melihat prinsip kelima Rukun Negara, 'Kesopanan dan Kesusilaaan' yang menjadi teras kepada pembangunan masyarakat dan negara harus terus dipegang dan dijunjung tinggi.

Kita tidak boleh membuang masa melayan kerenah seorang dua atau segelintir mereka yang mencabar nilai moral, etika dan agama yang ada walau pun mendakwa dan meminta hak mereka dihormati seperti mana kita juga meminta hak kita yang ingin melihat negara kita maju dalam acuan moral yang tinggi tidak boleh dipandang sepi.

Ironisnya tatkala Ishak bercakap panjang lebar tentang nilai dan etika, anak-anak muda pelajarnya yang duduk di kerusi belakang bersama-sama penulis di dalam dewan tidak langsung mendengar dan hiraukan syarahan yang diberi sebaliknya berborak kuat hingga mengganggu tumpuan orang lain dan melangkah keluar masuk di celah-celah penulis tanpa senyuman apatah lagi kata magis lama - 'boleh tumpang lalu' dan penulis berfikir panjang 'di mana adab seorang pelajar dan anak muda terpelajar universiti?'.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor USM

46 dibaca
Berita Harian X