Khamis, 5 Januari 2017 | 7:14pm

Paramount, firma China bangunkan projek RM650j di Rasah


TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong (dua kiri) bergambar bersama Pengarah Urusan Paramount Blossom, Datuk Mohd Nadzlim Mohd Noor (kiri); Presiden China Railway Liuyuan Group, Zhang Xianfeng (dua kanan) dan Pengerusi Fujian Hexinyuantong Investment, Wang Jin pada majlis memeterai perjanjian strategik Paramount Blossom dengan dua konglomerat China di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Paramount Blossom Sdn Bhd, syarikat pembinaan tempatan menjalin usaha sama dengan firma China, Fujian Hexinyuantong Investment Co Ltd dan China Railway Liuyuan Group Co Ltd, untuk membangunkan projek kediaman bernilai RM650 juta di Rasah, Negeri Sembilan.

Untuk tujuan itu, Paramount Blossom memeterai perjanjian strategik dengan dua konglomerat China bagi membangunkan tapak seluas 31.2 hektar itu di sini, hari ini.

Mengikut perjanjian itu, Fujian Hexinyuantong Investment Co Ltd (Fujian Hexinyuantong Investment) akan menyuntik pelaburan sebanyak RM650 juta bagi membina 835 unit rumah teres, Semi D dan duplex, dengan China Railway Liuyuan Group Co Ltd (China Railway Liuyuan Group) bertindak sebagai kontraktor.

Majlis dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong; Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengarah Urusan Paramount Blossom, Datuk Mohd Nadzlim Mohd Noor; Pengerusi Fujian Hexinyuantong Investment, Wang Jin dan Presiden China Railway Liuyuan Group, Zhang Xianfeng.

Dalam ucapannya, Chee Leong berkata, kerjasama itu adalah kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan China dalam bidang ekonomi, selepas lawatan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke China November lalu, yang mewujudkan nilai pelaburan sebanyak RM143 bilion melalui 14 perjanjian persefahaman yang ditandatangani.

"Saya yakin melalui inisiatif ini, kita akan mencapai dan meneruskan hubungan serta persabahatan yang lebih kukuh antara Malaysia dan China," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Pengarah Projek Khas, Paramount Blossom yang juga anak syarikat Landasan Kapital (M) Sdn Bhd, Datuk Jaafar Abu Hassan, berkata projek berkenaan akan dilancarkan pada Mei ini dan penyerahan kunci kepada pemilik dijangka dapat dilakukan pada 2019.

"Kami memberi tumpuan kepada rumah mampu milik bagi pembeli rumah pertama melalui pembinaan rumah teres dua tingkat dengan harga rumah dijangka di bawah RM600,000. 

"Kawasan ini juga strategik kerana berdekatan dengan stesen Seremban bagi Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan 10 minit dari susur keluar Seremban," katanya.

INFO:

3 - Fasa pembangunan unit rumah teres, semi D dan duplex 

24 bulan - tempoh pembinaan bagi setiap fasa

Berita Harian X