Khamis, 5 Januari 2017 | 4:11pm

3 lelaki ditahan, 125.7 gram dadah dirampas


KETUA Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob (dua kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, Parit Buntar.

PARIT BUNTAR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 125.7 gram dadah jenis heroin, syabu dan ganja dalam dua serbuan di Jalan Pantai Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dalam serbuan pertama jam 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Pantai Kuala Kurau, polis menahan seorang suspek, selain menemui syabu seberat 11.3 gram, heroin seberat 7.7 gram dan satu paket plastik tumbuhan kering dipercayai ganja.

Katanya, pada serbuan kedua di sebuah rumah di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, dua jam selepas itu, polis menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan dan menemui heroin seberat 106.7 gram.

"Kesemua suspek berusia antara 33 hingga 45 tahun dipercayai penagih tegar dan juga 'tokan' (pengedar kecil) di kawasan sekitar. Ketiga-tiga mereka turut memiliki pelbagai kes lampau membabitkan dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

15 dibaca
Berita Harian X