Khamis, 5 Januari 2017 | 2:24pm

Ringgit lemah, Honda tidak cadang naik harga kereta

PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia tidak bercadang untuk menaikkan harga barisan model keluarannya di negara ini meskipun berdepan penyusutan nilai ringgit yang berterusan ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi, berkata pihaknya menaruh keyakinan dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memiliki asas yang kukuh walaupun situasi luaran dijangka kekal mencabar tahun ini.

"Kita yakin kejatuhan ringgit hanya sementara dan ekonomi Malaysia kekal mampan untuk berdepan keadaan mencabar. Malah, berpaksikan jangkaan pertumbuhan ekonomi tahun ini juga, kita optimis dengan pasaran negara ini.

"Sehubungan itu, kita tidak mempunyai sebarang cadangan untuk menaikkan harga kereta keluaran kami di pasaran Malaysia walaupun Honda turut terkena tempias susulan penyusutan nilai ringgit," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Honda BR-V serba baharu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co Ltd yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd, Noriaki Abe; serta Ketua Projek Besar Honda Motor, Atsushi Arisaka.

Mengenai unjuran jualan keseluruhan tahun ini, Hayashi berkata, Honda Malaysia masih belum menetapkan sebarangan angka memandangkan masih terlalu awal untuk diumumkan selain jualan keseluruhan tahun lalu masih belum dimuktamadkan.

Katanya, berdasarkan angka awal, Honda Malaysia berjaya menjual 91,830 unit kereta sepanjang tahun lalu, melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 90,000 unit untuk 2016.

"Honda menjadi jenama bukan nasional pertama mencapai posisi nombor dua dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) apabila menamatkan 2016 dengan penguasaan pasaran sebanyak 15.8 peratus.

"Hasil daripada pencapaian ini, Malaysia berjaya mencatat kadar penguasaan pasaran kedua tertinggi di antara operasi Honda di dunia," katanya.

Info:

Jualan keseluruhan Honda di Malaysia

* 2015 - 94,902 unit

* 2016 - 91,830 unit (angka awal)

Berita Harian X