Khamis, 5 Januari 2017 | 11:18am
SEMPADAN Malaysia-Thai.

Pagar sempadan Malaysia-Thai baharu perlu dibina segera

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

PADANG BESAR: Pagar sempadan darat Perlis-Thailand yang baharu perlu dirancang dan dibina semula supaya kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, pembinaan pagar itu perlu mengambil kira keperluan situasi keselamatan semasa dan dipertingkatkan keupayaannya dengan menggunakan teknologi seperti CCTV, peralatan penglihatan malam dan sensor gerakan.

"Perubahan arus perdana mewujudkan keperluan untuk kerajaan melestarikan pembangunan dan keselamatan sempadan darat antarabangsa agar ia berkembang seiring kemajuan ekonomi dan konsep tiada kompromi dalam aspek keselamatan.

"Kekangan perbelanjaan dan kekurangan anggota bukan alasan yang menghalang pembinaan pagar berteknologi yang berupaya meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan agensi penguat kuasa, " titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri di sini bertitah selepas meninjau pagar berkenaan dari Padang Besar ke Bukit Kayu Hitam dengan menunggang motosikal petang semalam.

Baginda diiringi pengarah Majlis Keselamatan Negara negeri Perlis, Safrul Faiz Abd Satar yang turut mempersembahkan taklimat keselamatan terkini sempadan Perlis-Thailand.

Kali terakhir baginda meninjau kawasan berkenaan dengan bermotosikal ialah pada 2011. - BERNAMA

Berita Harian X