Sabtu, 13 Disember 2014 | 5:27pm
PENYERANG lincah THT, Faizal Saari (kanan) sekali lagi akan menjadi sandaran utama pasukan apabila menentang KLHC dalam final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang esok. - Foto Aswadi Alias

Hoki: Ganjaran tunggu Terengganu jika julang Piala TNB, esok

KUALA TERENGGANU: Imbuhan berganda daripada kerajaan negeri Terengganu sedang menanti Pasukan Hoki Terengganu (THT) jika berjaya melakar sejarah merangkul mahkota kejuaraan Piala TNB, esok.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata janji tersebut diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini.

"MB dan pemimpin negeri dijangka hadir bersama menonton perlawanan akhir itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan turut berjanji akan memberi sesuatu jika pasukan Terengganu meraih gelaran juara Piala TNB, esok.

"Kami harap tahun ini pasukan kita mengekalkan momentum yang terbaik agar dapat membawa pulang dua piala sekali gus (Piala Liga dan piala TNB)," katanya, hari ini.

Sebelum ini Terengganu melakar sejarah apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2014 buat pertama kali dalam penyertaannya di kejohanan itu.

Wan Ahmad Nizam berkata sokongan padu kerajaan kepada PHT adalah salah satu faktor kejayaan THT dalam kejohanan Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) tahun ini.

Untuk esok, Wan Ahmad Nizam berkata Terengganu tidak memandang mudah kewibawaan pasukan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) lawan yang bakal ditemui THT dalam final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, jam 5 petang esok.

Terengganu layak ke saingan akhir selepas membenam cabaran pasukan Maybank 8-1 pada pusingan kedua separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Hoki Batu Buruk Kuala Terengganu Rabu lalu, THT dikalahkan Maybank, 2-3. - BERNAMA

ESOK

Final Piala TNB

THT mln KLHC

(Std Hoki Nasional, Bkt Jalil, 5 ptg)

Berita Harian X