Rabu, 4 Januari 2017 | 6:05pm
Anggota Bomba dan Penyelamat dan Pegawai Perubatan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di simpang tiga Jalan Lundu-Sematan. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Seorang maut, tiga cedera Kancil bertembung Hilux


Anggota Bomba dan Penyelamat dan Pegawai Perubatan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di simpang tiga Jalan Lundu-Sematan. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

LUNDU: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kereta Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di persimpangan Jalan Lundu-Sematan di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Mangsa, Pajihah Matzen, 75, yang tersepit di tempat duduk bahagian hadapan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan manakala tiga lagi hanya cedera ringan.

Mereka yang cedera ialah Om Matzen, 67; Jelty Rasit, 55, dan pemandu Alpaty Rasit, 52, manakala Lee Chee Leong, 29, yang memandu Toyota Hilux, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.20 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setiba tiba di lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai, didapati seorang mangsa tersepit di tempat duduk hadapan kereta Perodua Kancil manakala Toyota Hilux terbabas ke dalam parit. Pihak kami mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan kepada pihak hospital yang kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Berita Harian X