Rabu, 4 Januari 2017 | 3:21pm

Mayat ditemui terlekat di tiang jeti


JENAZAH Wan Rufkhan Danial Wan Ranzam, 14, yang lemas selepas tergelincir sebelum dibawa arus di Dataran Purnama di Kampung Laut petang semalam telah ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan sukarelawan Jabatan Perikanan setelah terlekat di tiang jeti Kampung Laut kira-kira 400 meter dari lokasi jatuh sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat. - Foto Ihsan Pembaca

TUMPAT: Selepas dihanyutkan arus lebih 20 jam, mayat Wan Rukhfan Danial Wan Ramzan, 14, ditemui pada jam 1.40 petang tadi.

Mayatnya dijumpai oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan sukarelawan Jabatan Perikanan terlekat di tiang jeti Kampung Laut kira-kira 400 meter dari lokasi dia terjatuh.

Ketua Bomba Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlungkup.

"Selepas tiga jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan, akhirnya mayat mangsa ditemui sekumpulan PPDA yang menyelam.

"Meskipun dalam keadaan arus yang deras, pasukan penyelamat tetap berusaha mencari mangsa dan mayatnya ditemui tersekat di tiang jeti dalam keadaan terlungkup," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. Sementara itu bapa mangsa, Wan Ramzan Wan Abdul Majid, 47, melahirkan rasa lega dan syukur kerana anak ketiga dari lima beradik itu ditemui.

"Dengan cuaca yang tidak menentu dan arus sungai yang deras, kemungkinan untuk menemui anak saya agak tipis, namun kuasa Allah melebihi segala-galanya. Saya reda dengan ketentuan Ilahi, sekurang-kurangnya mayat arwah ditemui walaupun hanya tinggal jasad," katanya.

Berita Harian X