Sabtu, 13 Disember 2014 | 3:55pm
Foto ihsan MDC

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim bakal ubah Kedah jadi negeri industri

SHAH ALAM: Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dilihat bakal mengubah landskap ekonomi negeri Kedah, daripada negeri yang berorientasikan pertanian kepada sebuah negeri industri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kerajaan negeri juga merancang membangunkan beberapa kawasan di negeri itu sebagai taman teknologi dan perindustrian.

"Antara kawasan yang dikenal pasti ialah Bandar Baharu untuk dibangunkan sebagai 'Kedah Medical City' bagi menempatkan pelbagai industri berkaitan perubatan di satu kawasan.

"Selain itu, kawasan berhampiran cadangan tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim pula akan dibangunkan dengan industri 'aerocity' bagi menghimpunkan semua industri berkaitan penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perjumpaan santai bersama kira-kira 300pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berasal dari Kedah, di sini, malam tadi.

Justeru, beliau menasihati para pelajar, terutama yang berasal dari Kedah, supaya bersedia dengan ilmu dan kemahiran yang secukupnya untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang tersedia kelak.

Kerajaan Kedah bercadang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di kawasan seluas kira-kira 6,000 hektar di Kulim, membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.6 bilion.

Kementerian Pengangkutan masih mengkaji cadangan pembinaan lapangan terbang berkenaan.

- BERNAMA

75 dibaca
Berita Harian X