Rabu, 4 Januari 2017 | 1:46pm

Saya tinggalkan Liverpool dalam keadaan bagus - Mane


SADIO Mane kelihatan kecewa selepas melepaskan penalti kedua. -Foto Reuters

LONDON: Sadio Mane percaya dia meninggalkan Liverpool dalam keadaan yang bagus tatkala dia bersedia mengetuai cabaran Senegal pada saingan Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain berusia 24 tahun itu yang menyumbat gol kesembilan sejak perpindahan bernilai STG34 juta (RM186.95 juta) dari Southampton ketika seri 2-2 menentang Sunderland awal pagi Isnin lalu berkata, The Reds sudah cukup kuat tanpanya yang akan bermain dalam saingan bola sepak Afrika di Gabon.

Mane meninggalkan Liverpool di kedudukan kedua liga, lima mata di belakang pendahulu Chelsea, yang boleh meningkatkan jurang lapan mata jika The Blues menewaskan Spurs awal pagi esok.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah buat saya meninggalkan pasukan ini kerana saya mahu membantu mereka hingga penghujung musim," katanya kepada LFCTV.

"Tetapi saya mengucap selamat berjaya kepada mereka. Kami ada pasukan yang kuat dan saya rasa ia tidak akan menjadi masalah. Mereka akan melakukannya.

"Saya rasa kami berada dalam posisi yang bagus. Keputusan seri itu ok, tetapi paling penting ketika ini ialah reaksi terhadapnya. Semua orang tahu dan kami sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya," kata Mane dengan bola terkena tangannya enam minit sebelum tamat perlawanan yang memberikan penalti buat Sunderland dan disempurnakan Jermain Defoe bagi berkongsi mata.

Perlawanan seterusnya buat Liverpool dalam liga -- selepas Piala FA berdepan Plymouth dan separuh akhir Piala Liga berdepan Southampton -- ialah kunjungan paling dinantikan berdepan Manchester United pada 15 Januari dengan kedua-dua pasukan berada dalam prestasi terbaik. - AFP

Berita Harian X